Membaca tulisan panjang Rafizi Ramli yang dimuatkan dalam media sosialnya mengenai kemelut pemilihan PKR di ketika proses pengundian sedang berlangsung di Johor Bahru, dapat dirasakan inilah luahan isi hatinya yang tidak dapat disimpan lagi.
Walaupun tajuk tulisannya untuk memperkatakan tentang HIRUK iaitu program jelajah yang dicetuskannya sebaik kempen mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR bermula, tetapi Rafizi nampaknya telah meluahkan segala-galanya dalam coretannya kali ini.
Selain mengimbas balik rentetan seluruh peristiwa berserta tarikhnya sekali berkaitan berbagai perkara yang akhirnya membawa Nurul Izzah Anwar tampil sebagai pencabarnya, Rafizi juga mendedahkan bagaimana anak sulung Anwar itu, melalui bantuan Saifuddin Nasutian Ismail, ingin bertemunya ketika kempen sedang hangat berjalan.
Dalam pertemuan itu, Nurul Izzah dilaporkan meminta Rafizi agar terus membantu parti selepas pemilihan selesai dengan gambaran jawatan tertentu bakal ditawarkan kepadanya.
Bagaimanapun Rafizi menyatakan beliau tidak berminat dan menghormati apa jua keputusan pemilihan nanti.
Ini memberi maksud bahawa Rafizi akan tetap meletakkan jawatan jika kalah dan kekal dengan pendirian untuk berada di luar kerajaan.
Apa yang nyata, bilamana Nurul Izzah ingin bertemu Rafizi dan memintanya terus membantu parti (pertemuan diadakan pada 20 Mei, tiga hari sebelum pengundian), mesej yang jelas daripadanya ialah Puteri Reformasi itu sangat yakin kemenangan akan berpihak kepadanya.
Jika tidak yakin akan menang, mustahil Nurul Izzah datang merayu kepada Rafizi agar Menteri Ekonomi itu terus membantu parti, sambil memberi gambaran ada tawaran jawatan akan diuruskan kemudian.
Begitu pun, di waktu yang sama, Rafizi turut sedar bahawa kekalahan adalah miliknya dan kemenangan memang bakal berpihak kepada Nurul Izzah.
Sebab itu, beliau menulis di hujung catatannya – βInsya Allah, tanggungjawab itu menjadi tanggungjawab beliau (Nurul Izzah) selepas ini.
βAllah dan rakyat akan menghakimi kita, melangkaui jeritan reformasi kita di dalam kempen.
βSaya bersyukur saya telah melakukan yang terbaik untuk melepasi ujian kuasa kali pertama ini.β
Dengan bait ayat-ayatnya itu, Rafizi ternampak bukan saja menolak sebarang tawaran jawatan dan enggan membantu parti selepas ini, bahkan juga sepertinya mahu memisahkan dirinya terus daripada perjuangan PKR.
Walaupun tidak dinyatakan, gambaran tulisannya ialah beliau sedang mengucapkan selamat tinggal.
Seolah-olah apa yang ingin dimaksudkannya ialah – tugas saya sekarang sudah selesai dan saya bersyukur. – ShahbudinHusin 23Mei2025.
Leave a Reply