Menurut laporan TV3 semalam, lebih 200 cabang telah menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar untuk bertanding Timbalan Presiden PKR pada pemilihan hujung bulan ini.
Dengan keseluruhan cabang PKR berjumlah 222, ini bermakna sokongan yang diterima Nurul Izzah adalah melebihi 90 peratus.
Ertinya juga, tidak sampai 10 peratus cabang PKR yang bersama Rafizi Ramli.
Tsunami sokongan luar biasa yang diterima Nurul Izzah ini hampir menyamai bagaimana Anwar Ibrahim mengenepikan Tun Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO tahun 1993 dahulu.
Berikutan sokongan luar biasa itu, Anwar yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan telah memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa pertandingan.
Seterusnya, Anwar kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun yang sama.
Apakah dengan perkembangan yang berlaku kepada Nurul Izzah ini, ia iuga akan menyebabkan Rafizi tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan berhenti sebagai Menteri Ekonomi?
Sehingga ini, baik Rafizi yang bakal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR, mahu Nurul Izzah sebagai pencabar, masih lagi belum mengisi pencalonan mereka.
Mungkin masing-masing mahu menunggu hingga saat akhir tarikh tutup pencalonan pada jam 11.59 malam ini (9 Mei) untuk berbuat demikian.
Tetapi melihat kepada sokongan luar biasa yang ditterima Nurul Izzah, beliau tidak sepatutnya bertangguh lagi untuk mengisi borang pencalonan.
Nak tunggu apa lagi?

Di waktu yang sama, podcast “Yang Bakar Menteri” kepunyaan Rafizi yang sekian lama menyepikan diri akan kembali bersiaran semula pada Sabtu, 10 Mei ini.
Kali terakhir podcast “Yang Bakar Menteri” bersiaran ialah pada September tahun lalu.
Bersekali dengan kembalinya podcast itu bersiaran, Rafizi kali ini mengubah konsepnya dengan mengadakan siaran secara terbuka di di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Seri Kembangan, Selangor.
Ia akan berlangsung pada jam 9.00 malam Sabtu ini dan terbuka untuk dihadiri oleh orang ramai.
Sebelum ini poscast tersebut hanya bersiaran di studio saja.
“Saya akan mengambil kesempatan ini untuk memberikan penjelasan serta menjawab segala persoalan berkaitan isu dan polemik yang hangat diperkatakan dalam satu dua minggu kebelakangan ini,” kata Rafizi dalam perkongsian di media sosialnya.
Serentak dengan kembalinya bersiaran podcast itu, Rafizi juga menukar namanya daripada “Yang Bakar Menteri” kepada “Yang Berhenti Menteri”?
Apakah ini suatu isyarat bahawa Rafizi akan berhenti sebagai menteri selepas pemilihan PKR nanti? – ShahbudinHusin 09Mei2025.