Ramai yang bertanya, bila Rafizi Ramli nak letak jawatan?
Kenapa beliau masih datang ke pejabat dan hadir Sidang Kemuncak Asean?
Apakah beliau tak jadi letak jawatan?
Sejak semalam, inilah antara soalan yang banyak berlegar di mana-mana.
Seolah-olah ada yang tidak sabar mahu melihat Menteri Ekonomi itu segera menunaikan janjinya.
Sabar…dan jangan risau tentang janji Rafizi itu.
Beliau adalah seorang yang berprinsip dan pasti akan berpegang kepada janjinya.
Jadi, bilakah beliau akan letak jawatan?
Adalah diyakini Rafizi akan menghantar surat perletakan jawatannya sebaik saja Sidang Kemuncak Asean berakhir esok iaitu 28 Mei.
Dipercayai Rafizi berbuat demikian kerana mahu menjaga nama baik negara dan tidak mahu Sidang Kemuncak Asean terganggu dengan berita perletakan jawatannya.
Kiranya beliau meletakkan jawatan ketika Sidang Kemuncak Asean sedang berlangsung, sudah tentunya berita mengenainya akan tersiar di media-media serta dibaca oleh menteri-menteri yang hadir di persidangan itu.
Sudah pasti nanti tumpuan dan perhatian akan terkalih kepada berita perletakan jawatannya itu, malah pastinya juga Perdana Menteri akan ditanya media berkenaan dengannya.
Pemimpin-pemimpin Asean juga akan bercakap sesama sendiri tentang perletakan jawatan Rafizi itu.
Akhirnya, Sidang Kemuncak Asean akan kelihatan tidak cantik perjalanannya.
Dalam hal ini, terbukti Rafizi mempunyai pertimbangan yang matang dalam tindakannya, meskipun barangkali hatinya sedang kecewa dan tersakiti ketika ini.
Jadi, sabar sikit dan tunggulah selepas 28 Mei apabila semua menteri dan delegasi daripada negara Asean kembali ke negara masing-masing, pasti ketika itulah nanti surat perletakan jawatan Rafizi akan tiba di atas meja Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 27Mei2025.
Leave a Reply