Seorang pemimpin parti komponen PN baru-baru ini berkata, gabungan itu adalah kerajaan menanti.
Ini kerana beliau yakin PN mampu memenangi PRU16 akan datang.
Benarkah PN mampu memenangi PRU16 dan dapat menewaskan gandingan PH dan BN?
Sebagaimana telah disebut banyak kali sebelum ini, tiada mana-mana parti berjaya memperolehi majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan pada PRU15 yang lalu.
Kerajaan yang terbentuk hari ini adalah percantuman antara pelbagai parti.
Tetapi, keputusan PRU15 adalah jelas menunjukkan pengundi Melayu memihak kepada PN, manakala pengundi bukan Melayu lebih condong kepada PH.
PRN enam negeri pada tahun 2023 dan beberapa siri PRK kemudiannya, dengan yang terakhir di Ayer Kuning, turut memperlihatkan kecenderungan yang sama.
Ertinya pengundi Melayu, tambahan lagi setelah UMNO bekerjasama dengan DAP, melihat dan merasakan hanya PN yang sesuai untuk melindungi kepentingan mereka.
Berdasarkan keadaan tersebut, disertai lagi dengan pelbagai isu dalam negara yang merimaskan orang-orang Melayu sejak lebih dua tahun lalu, sangat diyakini bahawa pengundi Melayu terus memihak kepada PN.
Dengan itu, keyakinan bahawa PN adalah kerajaan menanti dilihat memang ada asasnya.
Selain itu, dalam bual bicara bersama Podcast Zaid Ibrahim baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin juga melahirkan keyakinan yang sama.
Tanpa berselindung, beliau secara jujur mengatakan PN mampu mengambil alih kerajaan selepas PRU16 akan datang.
Faktor terbaru yang barangkali turut menyumbang kepada cerahnya peluang PN itu ialah perpecahan dalam PKR berikutan isu Rafizi Ramli.
Sehingga 9 Mei ini iaitu tarikh tutup pencalonan, belum diketahui sama ada Rafizi akan mengekalkan jawatan Timbalan Presidennya atau bakal membawa diri atas sebab-sebab yang ramai orang telah banyak memperkatakannya.
Kiranya Rafizi tidak mempertahankan jawatannya dan kemudian meletakkan jawatan daripada kabinet, kesannya tentu saja besar kepada PKR.
Tentu lebih berganda lagi kesannya jika Rafizi akhirnya membuat keputusan keluar daripada PKR.
Sementelah lagi, ahli PKR, termasuk yang berjawatan di peringkat cabang telah mula menzahirkan sentimen masing-masing dan menembak sesama sendiri melalui platform media sosial masing-masing ketika ini.
Semua yang berlaku ini bakal mencalarkan imej PKR di mata rakyat, sekaligus menghakis keyakinan mereka terhadap parti yang sedang menunjangi kerajaan.
Maka itu, ditambah lagi jika PN bijak mengambil kesempatan mulai sekarang, tanpa keraguan lagi ungkapan kerajaan menanti semakin tiada halangan untuk menjadi kenyataan. – ShahbudinHusin 06Mei2025.