Ketika berkempen dalam Jelajah HIRUK di Mentakab, Pahang semalam, Rafizi Ramli mengajak pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk berdebat dengannya.
Beliau berkata, cara itu boleh meredakan sedikit suhu sepanjang kempen pemilihan yang sedang berjalan ketika ini.
“Kita ini parti reformasi, dengan KJ (Khairy Jamaluddin) pun saya pernah debat, dengan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman pun kita dah debat,” katanya lagi.
Bagaimanapun, dalam reaksi pantasnya terhadap pelawaan itu, Nurul Izzah menolak pelawaan Rafizi itu dengan menyifatkannya sebagai tidak perlu.
Katanya, beliau lebih berminat untuk terlibat dengan kegiatan bersama ahli parti berbanding mengadakan debat terbuka.
Naib presiden PKR itu berkata, perhatian ketika ini harus diberikan pada usaha mengurangkan ketegangan dalam parti dan mengadakan libat urus secara langsung dengan perwakilan.
“Pada masa ini keutamaan kita bukan pada kegiatan yang boleh memburukkan pertikaian dalaman.
“Kita nak kurangkan ketegangan kerana keutamaan kita adalah untuk menyantuni perwakilan,” tambahnya.
Keputusan Nurul Izzah tidak menerima pelawaan debat Rafizi itu bukan bererti beliau takut atau gementar untuk berdebat, tetapi menunjukkan kematangan dan bijaknya beliau dalam membuat pertimbangan.
Debat biasanya diadakan, baik sama ada untuk merebut jawatan dalam parti ataupun dalam percaturan memenangi pilihan raya, ialah jika persaingan antara calon-calon yang bertanding dalam kedudukan seimbang dalam peluang menang.
Ketika itu, debat mungkin boleh dijadikan kaedah tambahan untuk pengundi membuat pilihan.
Tetapi, dalam kes Nurul Izzah, keadaan itu tidak berlaku.
Nurul Izzah kini dalam keadaan “menang sudah dalam tangan”berikutan telah diberi sokongan oleh kira-kira 200 daripada 220 cabang di seluruh negara dan juga oleh semua Majlis Pimpinan Negeri-Negeri.
Kebelakangan ini pula, setiap hari satu demi satu pimpinan PKR sendiri menzahirkan sokongan serta keyakinan secara terbuka kepada Nurul Izzah untuk membawa perubahan yang lebih membanggakan kepada parti pada PRU16 akan datang.
Dengan itu, jika pun diadakan debat dan siapa menang atau kalah dalam perdebatan yang diadakan, ia tidak lagi mampu mengubah apa-apa keadaan.
Hakikatnya, hanya kerja buang masa saia jika Nurul Izzah bersetuju dengan pelawaan debat itu.
Terbukti dalam hal ini Nurul Izzah tidak suka buang masa dan buat kerja sia-sia. – ShahbudinHusin 15Mei2025.
Leave a Reply