Nurul Izzah Anwar bukanlah suatu nama yang asing dan bukan juga orang baru dalam PKR.
Terceburnya beliau dalam dunia politik hampir seiring dengan lahirnya PKR dalam persada negara ini.
Pertama kali namanya menjadi fenomena ialah apabila beliau berjaya menewaskan seorang menteri kanan UMNO, Shahrizat Jalil di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU tahun 2008 lalu.
Ketika itu namanya pantas menjadi sebutan di mana-mana susulan kejayaan luar dugaan membuat kejutan yang kalau ikut hukum akal, memang hampir mustahil seorang pendatang baru sepertinya mampu menewaskan Shahrizat, suatu nama besar yang pada waktu itu berjawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia.
Kemudian pada PRU 2013 iaitu lima tahun kemudiannya, Nurul Izzah sekali lagi berjaya menumbangkan seorang menteri juga, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di kerusi Parlimen yang sama.
Dengan itu, fenomena Nurul Izzah menjadi bualan sekali lagi dan sekaligus telah mencatat sejarah dalam perjalanan politiknya di mana dua menteri pernah tewas di tangannya.
Dalam kedua-dua kejayaan itu, kalau mahu dikira, Nurul Izzah bertanding di atas tanah yang tidak sama rata kerana beliau tiada apa-apa jawatan dalam mana-mana institusi berbanding lawannya yang berjawatan menteri.
Dalam pemilihan PKR tahun ini, ia tiba-tiba jadi hangat ialah kerana Nurul Izzah memberanikan dirinya bertanding jawatan Timbalan Presiden parti untuk menentang penyandang sedia ada, Rafizi Ramli.
Kalau Saifuddin Nasution Ismail yang berlawan dengan Rafizi, kehangatannya pasti tidak seperti yang ada sekarang.
Sejak itu, nama Nurul Izzah muncul sebagai fenomena di kalangan ahli, perwakilan serta pimpinan PKR.
Di mana-mana ketika ini nama Puteri Reformasi itu menjadi sebutan dan seterusnya diharapkan oleh pelbagai pihak untuk memenangi pertandingan.
Malah, di kem lawan pun, dalam jelajah yang mereka adakan, nama Nurul Izzah sepertinya susah untuk dilekangkan daripada bibir sebutan.
Hakikatnya, itulah yang dinamakan fenomena.
Berbeza dengan cara Nurul Izzah berkempen, beliau langsung tidak menyentuh nama lawannya.
Keberaniannya mencalonkan diri mencabar Rafizi dalam keadaan beliau sedar isu nepotisme pasti dijadikan batu besar untuk menolaknya ke lembah kekalahan, tidak dinafikan adalah gambaran jiwa beraninya yang luar biasa dan sedia berdepan apa jua cabaran.
Dalam sebuah perjuangan, keberanian seperti yang dimiliki Nurul Izzah itulah yang sebenarnya diperlukan dalam menggarap kemenangan, bukan pemimpin yang memiliki hati tisu, mudah merajuk dan asyik mengeluh kononnya diperlakukan seperti βbahan keratanβ.
Sekali lagi, jika mahu dikira juga, sedianya Nurul Izzah bertanding adalah atas kesedaran beliau akan berlawan di atas tanah yang tidak sama rata.
Fakta yang nyata, beliau tiada sebarang jawatan besar dalam kerajaan berbanding Rafizi yang memegang portfolio Menteri Ekonomi.
Tetapi, Nurul Izzah tidak pernah mengeluh mengenainya.
Jika kejayaan memihak kepada Nurul Izzah pada pemilihan 23 Mei nanti, ia bermakna tiga menteri telah berjaya dikalahkannya.
Yang penting sekali ialah kemenangan Nurul Izzah nanti mampu meniupkan angin damai kepada PKR dan mengelakkan parti itu daripada terus hiruk seperti yang berlaku sejak dua tiga minggu kebelakangan ini. – ShahbudinHusin 22Mei2025.
Leave a Reply