Rasa kecewa MCA terhadap UMNO dan tentang keberadaannya dalam BN nampaknya bukan lagi perkara yang boleh disembunyikan.
Kekecewaan MCA khususnya ialah kerana mereka tidak jelas mengenai nasib dan masa depan pada PRU16 akan datang.
Berbekalkan hanya memiliki dua kerusi Parlimen dan meskipun BN sebahagian daripada kerajaan perpaduan, selain tidak diberi sebarang jawatan, berapa kerusi akan ditandingi pada PRU16 nanti juga masih menjadi misteri.
Di waktu yang sama, UMNO nampaknya lebih selesa menambah-baik hubungan dengan DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen.
Itulah sebabnya, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon menggesa parti itu agar menentukan masa depannya sendiri jika BN terus menangguh-nangguhkan perbincangan mengenai masa depan parti itu.
Beliau berkata, MCA telah memberi BN masa lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas PRU15, tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam BN membuat keputusan menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.
“Jika BN masih gagal memberikan arah tuju yang jelas, MCA perlu mengambil inisiatif untuk menentukan haluan mereka sendiri,” katanya sepertimana dilapor Sin Chew Daily.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mendakwa, timbul rasa tidak puas hati akar umbi yang ketara dan mempersoalkan masa depan parti itu dalam BN kerana berasa ‘diperdaya’ UMNO sejak sekian lama.
Beliau berkata, ahli akar umbi percaya UMNO telah meninggalkan prinsip BN untuk terus berkuasa melalui kerjasama dengan DAP.
Katanya, parti teras BN itu telah mengetepikan tradisi gabungan untuk membuat keputusan berdasarkan konsensus dan keterangkuman, menyebabkan ahli MCA kini terpinggir dan kecewa.
Begini sajalah MCA, jangan fikir banyak atau bertangguh lagi – lebih baik keluar saja daripada BN dengan serta-merta.
Tak perlu juga mengeluh melalui media kerana dalam bentuk kerajaan perpaduan yang ada sekarang, MCA hampir tiada tempat pada PRU16 datang.
Oleh kerana DAP sudah sedia memiliki 40 kerusi Parlimen, ruang untuk MCA bertanding di kawasan bukan Melayu yang lain boleh dikira sudah tiada, kecuali kerusi Parlimen Air Hitam dan Tanjung Piai yang memang dimenangi MCA pada PRU15 yang lepas.
Adakah MCA sedia untuk diberikan kouta bertanding dua kerusi saja?
Sudah dua tahun menanti sia-sia, takkan mahu masa terbuang lagi menunggu sesuatu yang tidak pasti?
Hakikatnya, hanya dengan keluar BN dan kemudian menyertai PN saja membolehkan MCA mempunyai ruang yang lebih terbuka untuk bertanding banyak kerusi.
Dengan menyertai PN, MCA boleh bersama dengan Gerakan dan MIPP atau Parti Rakyat India Malaysia yang sudah sedia bersama gabungan itu untuk berpakat-pakat bertanding di 40 kerusi Parlimen yang sekarang diduduki oleh DAP.
Dengan disokong oleh Bersatu dan Pas yang mempunyai sokongan yang kuat daripada pengundi Melayu iaitu sekitar 70 peratus berdasarkan keputusan PRU15 lalu, gandingan MCA/Gerakan/MIPP diyakini mampu merampas sebahagian daripada 40 kerusi yang dimenangi DAP itu.
Ia sama seperti era BN dahulu di MCA, Gerakan dan MIC ketika itu mampu menang banyak kerusi lantaran disokong oleh UMNO yang mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.
Untuk itu, sekali lagi disarankan agar MCA tidak bertangguh lagi dan segeralah keluar terus daripada BN – lebih cantik jika diajak MIC sekali berbuat demikian. – ShahbudinHusin 29April2025.
Leave a Reply