Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (KPPPL) menyatakan kebimbangan terhadap tarif 24 peratus yang dikenakan oleh AS ke atas produk import Malaysia, sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh mengakibatkan kebimbangan sosio-ekonomi yang serius.
Menyedari bahawa keputusan sepihak itu memberi tekanan besar kepada syarikat tempatan yang beroperasi dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), EIWU berkata langkah itu juga memberi ancaman besar kepada keselamatan pekerjaan jangka panjang bagi beribu-ribu pekerja tempatan di seluruh negara.
“Tindakan ini juga memberi isyarat negatif kepada komuniti perdagangan antarabangsa, sekaligus menjejaskan daya saing produk Malaysia di peringkat global,” katanya.
Kesatuan itu juga berkata industri E&E merupakan antara penyumbang eksport utama negara, dengan AS sebagai salah satu rakan dagang terbesar.
“Pada tahun 2A23, eksport produk E&E Malaysia ke AS bernilai RM161.3 bilion, mewakili 62.8% daripada jumlah eksport Malaysia ke negara tersebut.
“Pelaksanaan tarif baru ini dijangka menjejaskan permintaan terhadap produk buatan dari Malaysia, sekaligus membawa risiko pembatalan pesanan, pengurangan pengeluaran, dan kemungkinan penyusutan operasi,” katanya.
Kesatuan itu menambah bahawa beberapa pengeluar dalam sektor berkaitan telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap implikasi tarif berkenaan, dalam keadaan industri sedia tertekan akibat pasaran eksport yang semakin tepu, kadar inflasi global yang tinggi serta tekanan kos operasi termasuk kenaikan gaji minimum.
“Dua syarikat di bawah naungan KPPPL telah mengumumkan penutupan operasi menjelang akhir tahun ini, melibatkan hampir 2,000 pekerja yang majoritinya berusia 45 tahun ke atas, sekaligus menambahkan lagi tekanan terhadap pasaran pekerjaan sedia ada.
“Sebagai salah satu kesatuan sekerja terbesar di Malaysia dengan keahlian melebihi 10,000 pekerja daripada lebih 40 Syarikat, KPPPL menggesa kerajaan Malaysia untuk segera mengadakan rundingan diplomatik bersama AS bagi memohon pertimbangan pengecualian atau pelepasan tarif ke atas produk dari Malaysia,” katanya lagi.
KPPL juga juga menggesa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan lndustri (MlTl) mengambil pendirian tegas terhadap isu berkenaan di platform perdagangan antarabangsa selain menyeru semua majikan untuk bekerjasama secara telus memastikan kebajikan pekerja terus menjadi keutamaan.
Minggu lalu, Trump mengumumkan bahawa semua import ke AS akan dikenakan tarif asas 10 peratus, yang berkuat kuasa pada 5 April.
Mulai 9 April, AS akan mengenakan tarif timbal balik yang lebih tinggi secara individu ke atas negara yang mempunyai defisit perdagangan terbesar.
Walau bagaimanapun, barangan tertentu akan dikecualikan daripada tarif, seperti tembaga, farmaseutikal dan semikonduktor.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/739379