Menjelang hari-hari terakhir sebelum pengundian PRK Ayer Kuning pada 26 April (esok), PN menzahirkan keyakinan mampu memperolehi kemenangan.
Keyakinan itu diluahkan Timbalan Pengerusi PN, Hamzah Zainuddin dua hari sebelum hari pengundian.
Menurut beliau, antara faktor keyakinan itu kerana penyokong setia UMNO adalah kelompok yang akan memberi sokongan kepada calon PN, Abd Muhaimin Malek.
Menurut Hamzah, PN berpotensi meraih sokongan daripada penyokong setia Umno yang tidak bersetuju dengan kerjasama parti itu bersama DAP.
“Mereka lebih cenderung untuk melihat UMNO bergabung dengan PN berbanding bekerjasama dengan DAP.
“Banyak maklumat (sampai) ke kita bahawa penyokong-penyokong asal UMNO tak setuju tentang gabungan antara UMNO dan DAP.
“Mereka juga mengakui kalaulah negeri ini gabungan antara PN dan UMNO, ini merupakan satu gabungan yang kuat, bukan setakat sekarang tapi juga untuk masa-masa hadapan.
“Saya percaya kalau ramai yang punyai sifat sebegitu rupa, mereka akan beri undi kepada kita semata-mata nak bagi signal kepada pemimpin mereka bahawa gabungan UmDAP itu mereka tak boleh terima,” kata Hamzah yang juga merupakan Ketua Pembangkang.
Benarkah apa yang Hamzah sebut itu?
Apakah keyakinan beliau mengenai sokongan daripada penyokong setia UMNO itu sesuatu yang pasti atau sekadar fantasi?
Tentulah amat menarik percaturan politik seterusnya jika keyakinan Hamzah itu benar-benar menjadi kenyataan pada malam 26 April nanti.
Tetapi melihat kepada bagaimana sibuknya UMNO menafikan sentimen UMDAP sejak kebelakangan ini, kebenaran apa yang Hamzah nyatakan itu seperti tidak boleh dinafikan.
Kenapa perlu sibuk menafikan jika tiada apa-apa gelombang di permukaan? – ShahbudinHusin 25April2025.
Leave a Reply