Apabila Hamzah Zainuddin membuat tawaran bahawa Bersatu sedia untuk bekerjasama dengan UMNO, ramai yang bersikap sinis terhadap cadangannya itu.
Ada pemimpin UMNO berkata, cadangan itu sudah terlalu lambat dan ada pula mengatakan, kerjasama itu hanya mungkin menjadi kenyataan jika hubungan UMNO dan PH mengalami masalah.
Setakat ini, kata mereka, hubungan itu dalam keadaan baik-baik saja.
Paling ramai memberi respon ialah dengan menyarankan agar Bersatu dibubarkan terlebih dahulu jika benar ingin bergabung dengan UMNO.
Berdepan cadangan Hamzah itu, semua pihak yang prihatin dengan kepentingan bangsa Melayu di negara ini harus bertenang dan mendinginkan kepala terlebih dahulu.
Jangan emosi dan jangan terlalu terkongkong dengan asabiyah parti sendiri.
Fikirkan kepentingan yang lebih besar yang boleh memberi manfaat berganda kepada negara dan generasi akan datang.
Pertimbangkan sifir di bawah ini dengan fikiran terbuka.
Pada PRU15 lepas, PN yang dianggotai Pas dan Bersatu telah memenangi 74 kerusi Parlimen dan BN pula menang 30 kerusi.
Memang kalau dicampurkan kedua-duanya hanya berjumlah 104 kerusi dan ia masih belum mampu menubuhkan kerajaan kerana jumlah minima untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.
Tetapi, harus diingat, ketika itu pertandingan berlaku dalam tiga penjuru – PH, PN dan BN.
Senang cerita, PN dan BN pada waktu itu berlawan sesama sendiri di kerusi yang sama.
Mungkin ada yang berkata, kalau PN dan BN bekerjasama pun, jumlah kerusi yang dimenangi barangkali sekitar angka pencapaian PRU yang lepas saja dan masih tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan.
Jangan lupa, jika PN dan BN sudah bersama, kedua-duanya secara automatik akan menjadi sebuah gabungan yang lebih besar dan kuat yang sudah pasti mampu memenangi lebih banyak kerusi.
Kebersamaan itu, selain menjamin UMNO, Pas dan Bersatu mampu menang di kerusi masing-masing sedia ada, mereka juga berpotensi untuk menang di kerusi yang sekarang dimenangi Amanah dan beberapa kerusi milik PKR.
Di samping itu, apabila parti-parti Melayu sudah bergabung menjadi kuat, ia turut akan menyebabkan parti bukan Melayu di bawah PN dan BN turut sama menjadi kuat.
Apabila itu berlaku, MCA, MIC dan Gerakan akan terdedah kepada peluang cerah untuk menang juga di beberapa kerusi yang kini dipegang oleh DAP.
Barulah nanti PN dan BN senang-senang “tapau habis” PRU16 akan datang.
Ketika era BN dahulu, jika kita masih ingat, MCA, MIC dan Gerakan menjadi kuat adalah disebabkan kedudukan UMNO yang sentiasa kuat serta disokong oleh orang Melayu.
Selain itu, satu halangan yang sering diperkatakan yang menyebabkan UMNO sukar menerima pelawaan bekerjasama dengan PN ialah kerana berasakan hanya sedikit kerusi yang boleh mereka tandingi nanti.
Kononnya, jika bersama PH pula, UMNO senang-senang boleh bertanding di semua 74 kerusi yang sekarang dimenangi oleh PN.
Kepada UMNO, buat apa bertanding banyak kerusi kalau yang menang nanti hanya sedikit saja?
Bukankah lebih baik bertanding sedikit kerusi, misalnya antara 35 hingga 40 kerusi, namun boleh menang semuanya?
Berdasarkan hakikat itu, UMNO kena fikir dengan mendalam dan tak perlu menunggu hubungan dengan PH bermasalah dahulu barulah terbuka hati untuk bekerjasama.
Sementara itu, mungkin ada yang bertanya lagi, siapa dan pemimpin parti mana akan jadi Perdana Menteri di bawah gabungan besar itu?
Dalam hal ini, formula penggiliran Ketua Menteri sebagaimana pernah diamalkan di Sabah dirasakan praktikal untuk diikuti semula.
Berikan setiap pemimpin – UMNO, Bersatu dan Pas – giliran dua tahun setiap seorang untuk memegang jawatan Perdana Menteri.
Ini sekaligus menjadikan lebih ramai berpeluang duduk sebagai Perdana Menteri dan lebih ramai orang parti akan rasa “happy”.
Seterusnya, setiap parti boleh kekal wujud seperti sekarang dan tiada parti perlu dibubarkan semata-mata untuk bekerjasama.
Apa macam? – ShahbudinHusin 26Mac2025.
Leave a Reply