Dalam beberapa kes rasuah yang berjaya digeledah – sebagai contoh yang melibatkan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob – Perdana Menteri sering diberi pujian yang melangit atas kejayaan tersebut.
Begitu juga dalam kes Tun Daim Zainuddin dan anak-anak Tun Mahathir Mohamad yang disiasat kerana didakwa mengumpul kekayaan luar biasa sehingga membawa kepada pengisytiharan harta, para penyokong kerajaan madani juga tidak henti-henti memuji Perdana Menteri.
PMX terbaik, PMX terbaik, PMX terbaik, inilah ungkapan kerap diulang-ulang sebagai tanda puji-pujian dan sanjungan terhadap Perdana Menteri.
Tetapi, kalau kita teliti, semua kejayaan tersebut adalah terhadap mereka yang tidak lagi berkuasa atau sudah hilang kuasa, malah sebahagiannya merupakan musuh politik kepada pendiri kerajaan yang sedang memegang kuasa.
Meskipun usaha-usaha tersebut masih boleh dibanggakan, namun ia umpama minum kopi tanpa gula – enaknya kurang terasa.
Sejak beberapa bulan lepas telah muncul isu rasuah yang menggemparkan negara melibatkan sejumlah Adun Sabah, termasuk juga Ketua Menterinya, Hajiji Noor.
Yang terbaru, Speaker Dun Sabah juga terkait sama dengan dakwaan rasuah itu.
Semua kes rasuah itu didedahkan melalui pendedahan bersiri-siri rakaman video yang dirakam oleh seorang pemberi maklumat yang terlibat secara langsung dalam amalan rasuah itu.
Bagaimanapun sehingga ini siasatan SPRM ternampak agak perlahan dan pemberi maklumat itu juga nampaknya enggan diberi perlindungan sebagai saksi.
Pelbagai hujah diberi, misalnya dikatakan video yang didedahkan selama ini telah disunting, pemberi maklumat telah mendedahkan kepada media terlebih dahulu dan individu berkenaan juga dikatakan tidak layak diberi perlindungan sebagai saksi disebabkan turut terlibat dalam amalan rasuah yang didakwa itu.
Akhirnya, selama berbulan-bulan dan meski pelbagai desakan muncul yang mahu siasatan segera dilakukan, tiada apa-apa tindakan yang kedengaran.
Bagaimanapun, hari ini rakaman penuh dan tanpa suntingan video melibatkan Adun-Adun yang didakwa menerima rasuah itu telah pun diserahkan kepada SPRM.
Pemberi maklumat berkenaan telah menyerahkan keseluruhan rakaman video itu kepada Lawyers For Liberty atau LFL untuk dipanjangkan kepada SPRM bagi tindakan seterusnya.
Serentak dengan itu, LFL juga menggesa SPRM memberi perlindungan sebagai saksi kepada pemberi maklumat yang dinamakan sebagai Albert itu agar amalan rasuah berskala besar dan berjemaah melibatkan kerajaan negeri Sabah itu dapat disiasat segera.
Dalam hal ini, berikutan bukti penuh telah diberikan kepada SPRM, agensi anti rasuah itu dari segi logiknya, sudah boleh memulakan tindakan yang sewajarnya dengan segera.
Tiada alasan lagi untuk melengah-lengahkan siasatan, mahu pun tangkapan.
Hakikatnya, kes rasuah melibatkan Adun-Adun Sabah yang menjadi bualan ramai ini juga adalah ujian sebenar kepada Perdana Menteri dalam ketegasannya memerangi rasuah.
Ini kerana kali ini ia melibatkan mereka yang bukan saja sedang berkuasa, tetapi juga pemberi sokongan kepada pembentukan kerajaan madani.
Harap-harap Perdana Menteri dapat segera bersuara mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan tanpa kompromi dengan secepat mungkin.
Dan mudah-mudahan akhirnya ungkapan “PMX terbaik” tidak hilang ditelan adanya kepentingan lain yang lebih seronok mahu dijaga. – ShahbudinHusin 11Mac2025.
Leave a Reply