Ketika menyaksikan beberapa insiden tidak wajar melibatkan anggota pasukan penguatkuasa terhadap golongan peniaga marhaen kebelakangan ini, khususnya melibatkan Pakcik Petai dan Abang Belon, elok jika kita dapat menoleh ke belakang untuk melihat bagaimana mula tercetusnya Arab Spring pada tahun 2011 dahulu.
Arab Spring mulanya tercetus di Tunisia, sebuah negara kecil dan tidak banyak diberi perhatian yang meluas dalam kancah politik dunia Islam.
Pada Januari 2011, negara kecil yang terletak di Utara Afrika itu mendapat perhatian dunia apabila seorang pemuda yang bernama Mohammad Al-Bu Azizi bertindak membakar dirinya kerana tekanan hidup dan sebagai protes apabila kereta sorong barang-barang perniagaan kecil miliknya dirampas oleh pihak berkuasa tempatan atau penguatkuasa.
Insiden bakar diri itu membuatkan rakyat Tunisia turut marah dan bangkit untuk melakukan protes terhadap kerajaan.
Akhirnya setelah beberapa minggu demonstrasi aman diadakan, Zainal Abidin Ben Ali meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Tunisia dan seterusnya melarikan diri ke Arab Saudi.
Daripada Tunisia, gelombang Arab Spring kemudian merebak ke Mesir dan Libya.
Sama seperti di Tunisia, kerajaan Mesir dan Libya juga tumbang dek pukulan gelombang Arab Spring.
Meskipun rasa tidak puas dan protes rakyat di negara-negara tersebut turut disumbang oleh gaya pemerintahan yang dianggap ala diktator, tetapi bermulanya kebangkitan itu adalah disebabkan angkara penguatkuasa terhadap golongan peniaga marhaen tepi jalan.
Walau negara kita adalah negara demokrasi di mana rakyat bebas menukar kerajaan setiap lima tahun, namun elemen yang boleh ditafsirkan sebagai menekan rakyat marhaen dan menyebabkan mereka jadi marah seharusnya mestilah dielakkan.
Untuk itu, walaupun apa yang berlaku itu hanya angkara penguatkuasa dan kerajaan mungkin menyifatkannya sebagai kes terpencil, jangan lupa bahawa di atas penguatkuasa itu ada menteri dan Perdana Menteri sebagai ketuanya.
Dalam prinsip pertanggungjawabam yang diterima di seluruh dunia, seorang ketua tidak boleh lepas tangan begitu saja atas kesalahan yang dilakukan orang bawahannya.
Sebabnya, apabila rakyat marah dan bangkit, sasarannya ialah kerajaan yang sedang berkuasa.
Memang benar bahawa tindakan merusuh sehingga menyebabkan kerajaan tumbang sebagaimana berlaku akibat Arab Spring sukar berlaku di negara kita, bahkan mungkin tiada yang sampai mahu membakar dirinya seperti pemuda di Tunisia itu, namun perkara itu mampu menambah-besarkan lagi rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan lantaran berasakan hidup mereka ditekan oleh mereka yang berkuasa.
Ditambah kerana rasa marah dan tak puas hati itu memang sudah sedia ada, lama-kelamaan ia makin membesar hari demi hari.
Sebab itu kerajaan tidak boleh memandang ringan perkara ini dan sesuatu mesti dilakukan untuk mengelakkan ia berulang kembali.
Kalau dibiarkan dan kerajaan tidak berbuat apa-apa, kemarahan rakyat dan rasa tak puas hati mereka itu pasti akan menjadi satu lagi sebab, di samping banyak sebab-sebab lain yang telah sedia ada, untuk rakyat memilih parti lain pula untuk mengemudi kerajaan bila tiba waktu pilihan raya diadakan. – ShahbudinHusin 30Mac2025.
Leave a Reply