Hari-hari terakhir Ramadan ini, sementara semua kita sebagai umat Islam seharusnya lebih banyak bersabar, bersikap ihsan dan bertimbangrasa terhadap orang lain, apa yang berlaku melibatkan pasukan penguatkuasa kebelakangan ini adalah sesuatu yang menyedihkan sekali.
Sebelum ini melibatkan “Pakcik Petai” di Port Dickson dan yang terbaru berkaitan “Abang Belon” pula di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Selepas ini, entah di mana-mana lagi?
Memang kedua-duanya berniaga tersebut menjalankan perniagaan tanpa lesen, tetapi apakah perlu mereka dilayan dengan kasar dan penuh keangkuhan?
Itu baru ada kuasa sebagai penguatkuasa, bagaimana agaknya kalau jenis macam ini kalau ada kuasa macam menteri?
Lagi pula di Kuala Lumpur dan di mana-mana di dunia ini, orang meniaga tanpa lesen adalah perkara biasa.
Di negara kita, orang meniaga tanpa lesen bukan saja ada di Jalan Tunku Abdul Rahman, tetapi juga di Petaling Street, Bukit Bintang, Jinjang, Seputeh, Cheras dan banyak kawasan lagi.
Namun, pernahkah kita dengar pasukan penguatkuasa tunjuk kuasa di kawasan-kawasan tersebut?
Kalau betul nak tegas dan tunjuk kuasa, lakukanlah di semua kawasan dan kepada peniaga-peniaga haram yang lain?
Harus kita sedar, mereka yang berniaga tanpa lesen seperti “Abang Belon” itu, mereka biasanya hanyalah golongan peniaga sambilan yang ingin mencari rezeki tambahan semata-mata.
Selalunya mereka berniaga hanya pada hujung minggu atau setiap kali menjelang hari-hari perayaan saja.
Walau tidak berapa sen sangat mereka dapat dengan jualan belon itu, tetapi bagi mereka dan meski jumlahnya mungkin kecil, ia amat bermakna bagi kehidupan mereka sekeluarga.
Dengan itu, apakah tidak boleh diberi sedikit budi bicara dan timbangrasa untuk mereka mencari rezeki bagi menambah makna keceriaan Aidil Fitri?
Kalau pun benar dakwaan kononnya kejadian bermula disebabkan peniaga belon bertindak agresif, wajarkah pasukan penguatkuasa membalasnya dengan kekasaran?
Dalam hal ini, sebagaimana selalu disebut, ikan busuk bermula daripada kepala, teladan dan kepimpinan yang baik juga bermula daripada ketua.
Adalah penting mereka yang berada di atas untuk ambil cakma dan prihatin dalam isu ini agar ia tidak berulang kembali di masa depan.
Mereka yang ada kuasa dan kawalan kepada pasukan penguatkuasa kena selalu menitipkan pesanan kepada anggota penguatkuasa tentang sikap timbangrasa dan budi bicara dalam bekerjasa, lebih-lebih lagi kalau melibatkan golongan marhaen yang hanya ingin mencari reseki sesuap nasi.
Kalau dalam isu kuil ternampak begitu tinggi budi bicara dan timbangrasa yang ditunjukkan, kenapa dalam hal lain, tambahan lagi berkaitan bangsa sendiri, kuasa dan kekerasan yang perlu ditunjukkan?
Apalah ertinya madani sebagai slogan kerajaan kalau kejadian-kejadian seumpama ini makin silih berganti? – ShahbudinHusin 29Mac2025.
Leave a Reply