Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

APA SETERUSNYA KES EMPAT PEGAWAI PM9?

Menurut laporan media, tiga bekas pegawai PM9, Ismail Sabri Yaakob yang  sebelum ini ditahan reman sudah pun dibebaskan pada petang Selasa lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, tiga bekas pegawai berkenaan dibebaskan selepas tempoh reman mereka berakhir.

Dilaporkan sebelum ini, empat bekas pegawai Ismail Sabri  itu direman untuk siasatan bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram ((AMLATFPUAA).

Daripada empat yang ditahan tempoh hari, seorang sudah dibebaskan pada hari Ahad, manakala  baki tiga lagi  dilepaskan pada petang Selasa lalu.

Apa yang menjadi perbualan ramai, apa hasil siasatan terhadap mereka yang ditahan reman itu?

Kenapa tiada pemakluman lanjut diumumkan oleh SPRM?

Biasanya dalam banyak kes sebelum ini, sebaik saja tahanan reman berakhir, SPRM akan segera tampil memaklumkan kepada rakyat dapatan awal hasil siasatan yang mereka jalankan.

Kenapa dalam kes bekas pegawai PM9 itu ternampak semacam perkembangan seterusnya agak perlahan?

Tiada perkhabaran atau gambaran setakat ini bahawa mereka yang ditahan itu bakal didakwa di mahkamah dalam waktu terdekat ini.

Azam Baki dilaporkan hanya berkata, siasatan masih diteruskan dan tidak menolak akan memanggil beberapa saksi lagi.

“Kami setakat ini tidak boleh memberi sebarang perincian tentang siasatan yang sedang dijalankan.

“Kita akan mengumumkan hasil selepas siasatan mengenai kes itu lengkap dan selesai,” katanya sebagaimana dilaporkan media.

Bahkan ada yang bertanya berkenaan ketiadaan gambar-gambar yang disiarkan di media ketika bekas pegawai berkenaan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman atau sewaktu mereka dibebaskan.

Ini berbeza dengan banyak kes siasatan SPRM sebelum ini, gambar-gambar mereka yang direman dengan pantas menjadi viral di pelbagai media sosial.

Perkara lain yang menjadi minat ramai mengetahuinya ialah berkenaan wang lebih RM100 juta yang dirampas itu.

Siapa punya wang tersebut?

Ia wang apa dan bagaimana ia diperolehi?

Seterusnya, kenapa wang berkenaan disimpan dalam rumah dan bukan di bank?

Adakah serbuan lain turut dilakukan dan adakah juga bekas pegawai PM9 yang lain akan ditahan sama?

Sebenarnya, banyak sekali persoalan sedang bermain di fikiran rakyat berikutan penahanan empat bekas pegawai berkenaan dan penemuan wang tunai lebih RM100 juta daripada mereka.

Pokoknya, isu ini sedang menarik minat ramai untuk diketahui perkembangan seterusnya dan SPRM ada tanggungjawab untuk memastikan harapan rakyat selaku pembayar cukai dipenuhi sewajarnya. – ShahbudinHusin 27Februari2025.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x