Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

PEGUAM NEGARA TAK USAHLAH MALU-MALU NAK BERI SATU LAGI DNAA KEPADA ZAHID HAMIDI

Mahkamah Rayuan nampaknya tidak senang dengan Jabatan Peguam Negara yang dilihat tidak jelas pendiriannya – sama ada ingin meneruskan atau menarik balik rayuannya dalam kes rasuah sistem Visa Luar Negara (VLN) membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail yang bersidang hari ini memberi tempoh sehingga 9 September depan untuk jabatan itu membuat keputusannya.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama Hadhariah hari ini ialah Azman Abdullah dan SM Komathy.

Mahkamah Tinggi pada September 2022 membebaskan Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah VLN, tetapi Jabatan Peguam Negara kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 17 November 2023, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan rayuan pendakwa itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 18 Mac 2024 (hari ini).

Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata, pihak pendakwaan dilihat masih berkira-kira sama ada mahu menerima dua representasi daripada Zahid Hamidi itu atau sebaliknya.

Representasi pertama Ahmad Zahid dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada Jan tahun lalu, manakala yang kedua dikemukakan pada bulan lalu.

Hadhariah seterusnya mengingatkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, sebarang representasi yang dihantar mesti mempunyai jawapan, dengan hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan pembebasan Presiden UMNO itu.

Beliau menambah, panel rayuan telah menghabiskan masa berhari-hari untuk meneliti ribuan halaman rekod rayuan serta penghujahan bertulis dalam kes tersebut sebagai persediaan perbicaraan yang sepatutnya diadakan hari ini.

Terdahulu Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pasukan pembelaan Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan supaya pendakwa boleh meneliti representasi dikemukakan oleh tertuduh.

Mohd Dusuki berkata mereka tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan tersebut.

Teguran hakim ini harus dilihat sebagai sesuatu yang serius dalam konteks keadilan yang menyeluruh.

Soalnya, kenapa representasi yang dikemukan tertuduh iaitu Timbalan Perdana Menteri kepada Jabatan Peguam Negara begitu lambat hendak diberikan jawapan?

Bukan satu pulak tu, tetapi sudah dua dua representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Nak tunggu berapa lama lagi?

Namun, ketegasan Mahkamah Rayuan memberi tempoh sehingga 9 September untuk menjawab representasi itu adalah keputusan terpuji.

Selepas ini, yang perlu ialah memberikan jawapan.

Meski pun pihak pendakwa menyebut mereka memerlukan masa yang bersesuaian bagi meneliti serta mengkaji representasi dikemukakan Ahmad Zahid itu, namun janganlah terlalu lama.

Dengan tarikh 9 September sudah ditetapkan untuk memberi jawapan, tiada lagi alasan lain selepas ini.

Kalau susah-susah, beri sajalah satu lagi DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) kepada Timbalan Perdana Menteri itu sebagaimana diterimanya sebelum ini dalam 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi?

Janganlah malu-malu sayang…ini kan demi kestabilan kerajaan? – ShahbudinHusin18/03/2024.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

90 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
90
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x