Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

MUHYIDDIN KIAN TERPINGGIR DALAM BERSATU?

Dalam reaksi pertamanya berhubung perlantikan Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Bersatu Negeri Johor, Muhyiddin Yassin berharap ianya tidak menjejaskan hubungan antara pemimpin parti di negeri itu.

Kata Presiden Bersatu itu, apa yang penting ialah perpaduan dan kerjasama perlu menjadi pegangan kepimpinan Bersatu di Johor.

“Surat perlantikan sudah dikeluarkan secara rasmi, jadi dia (Mazlan) jalankan tugaslah,” tambahnya lagi.

Ditanya sama ada perlantikan Mazlan akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri Johor berikutan Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal tidak memegang sebarang jawatan dalam parti di peringkat negeri, Muhyiddin berharap tidak akan berlaku perkara sedemikian.

“Saya harap tidak begitu,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri.

Apakah yang boleh kita tafsirkan daripada jawapan Muhyiddin mengenai perlantikan Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Johor ini?

Pertama, beliau hanya mampu berharap perlantikan Mazlan tidak menjejaskan hubungan antara pemimpin Bersatu di Johor.

Kedua, sekali lagi beliau juga sekadar dapat berharap perlantikan Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Johor, walaupun telah digugurkan sebagai Exco dan Menteri Besar tiada sebarang jawatan dalam parti peringkat negeri, tidak akan menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan hanya berharap saja bahawa perlantikan Mazlan tidak membawa sebarang masalah kepada parti dan pentadbiran kerajaan negeri, ternampak jelas bahawa Muhyiddin tidak terlibat sama sekali dalam soal perlantikan itu.

Seolah-olahnya perlantikan Mazlan hanya diputuskan oleh Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu tanpa berunding dengannya.

Maka, apakah fungsi Muhyiddin sebenarnya sebagai Presiden?

Apakah seorang Presiden hanya mampu berharap saja?

Bukankah sebagai Presiden Bersatu, lebih-lebih lagi jika perlantikan Mazlan diputuskan olehnya, Muhyiddin sepatutnya ada keyakinan penuh soal politik dan pentadbiran kerajaan negeri akan bertambah baik, bukannya sekadar berharap semata-mata?

Apakah Tun Mahathir, walaupun hanya berjawatan Pengerusi, tetapi lebih berkuasa dalam Bersatu berbanding Muhyiddin kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri?

Sampai bila keadaan ini akan terus berlaku dan apakah Muhyiddin akan terus dipinggirkan lagi dalam banyak hal selepas ini? (Shahbudindotcom 28/05/2019)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

50 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
50
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x