Sejak pertukaran Menteri Besar Johor, macam-macam perkara pelik berlaku dalam Bersatu negeri itu.
Mula-mula, meskipun dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Osman Sapian, tetapi Dr. Shahruddin Jamal hanya diberikan jawatan Setiausaha Bersatu Johor saja.
Pengerusi Bersatu Johor pula diberikan kepada Mazlan Bujang, Exco Kerajaan Negeri yang digugurkan kerana dikatakan tidak disenangi oleh pihak istana.
Oleh kerana Menteri Besar Johor tidak dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor, ketika itu difahamkan terdapat 23 daripada 26 Ketua Bahagiannya menghantar memorandum bantahan kepada Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu.
Dalam sususan terbaru kepimpinan Bersatu Johor yang diumumkan hari ini, selain nampaknya memorandum bantahan terhadap perlantikan Mazlan tidak dilayan, sebaliknya Dr. Shahruddin langsung tidak diberikan sebarang jawatan di peringkat negeri.
Bukankah ini sesuatu yang pelik?
Rasanya inilah kali pertama, bukan saja di Johor, bahkan juga di mana-mana negeri sekali pun di mana seorang Menteri Besar tidak ada sebarang jawatan dalam parti di peringkat negeri.
Bagaimanakah seorang Menteri Besar yang dilantik oleh parti menduduki jawatan itu, tetapi tiada sebarang jawatan dalam Bersatu peringkat negeri?
Di mana sebenarnya konsep parti menguasai kerajaan?
Dengan tiada jawatan dalam Bersatu Johor, apakah ini bermakna Dr. Shahruddin hanya akan menjadi Menteri Besar sehingga hujung penggal ini saja?
Apakah jaminan beliau akan disenaraikan lagi oleh Bersatu Johor yang dipimpin oleh Mazlan sebagai calon dalam PRU15 akan datang? (Shahbudindotcom 25/05/2019)