Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

118-168, PUSINGAN KEDUA PUN DIMENANGI HAMZAH!!

Dalam perjumpaan anjuran Hamzah Zainuddin di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) semalam, fokus ternampak lebih diberikan kepada jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen terhadapnya.

Dalam majlis itu direkodkan seramai 19 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu hadir sebagai tanda sokongan kepada Ahli Parlimen Larut itu.

Kejayaan Hamzah memperolehi sokongan 19 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu itu memang sesuatu yang membangggakan, bahkan meletakkan Muhyiddin Yassin yang memecatnya dalam kedudukan yang agak memalukan.

Ini kerana, secara logiknya, Muhyiddinlah yang sepatutnya memperolehi lebih sokongan berbanding Hamzah.

Tetapi sebenarnya, selain diberi sokongan oleh 3/4 Ahli-Ahli Parlimen Bersatu, Hamzah juga memperolehi sokongan daripada 2/3 Ketua-Ketua Bahagian parti itu.

Daripada 168 Ketua Bahagian Bersatu yang ada, 118 daripadanya memihak kepada Hamzah.

Jumlah 118 ini juga sebelum ini mendesak pengunduran Muhyiddin.

Jumlah 118 Ketua Bahagian itu turut sama hadir dalam perjumpaan di Rumah Kelab PAUM Sabtu lalu.

Selain itu, sebagai tanda protes terhadap pemecatan Hamzah, banyak juga daripada Ketua-Ketua bahagian itu yang mengumumkan pembubaran bahagian masing-masing.

Dalam pada itu, beberapa tokoh berpengalaman seperti Rais Yatim dan Noh Omar pula mengambil tindakan meletakkan jawatan daripada jawatan masing-masing dalam Bersatu.

Mengikut langkah yang sama, Ketua sayap bersekutu Bersatu, Dr Chong Fatt Full juga turut mengumumkan perletakan jawatannya.

Dengan semua yang berlaku sebagai susulan pemecatan Hamzah, kalau pun tidak lumpuh, struktur Bersatu sekarang ini boleh dikata mengalami ketempangan yang serius yang tidak mampu lagi menjanjikan harapan masa depan kepada rakyat.

Sukar dibayangkan bagaimana Muhyiddin mahu terus menggerakkan Bersatu bagi menghadapi PRU16 akan datang.

Mahu tidak mahu , ini pun dikira satu lagi kemenangan buat Hamzah, sekaligus kekalahan kedua kepada Muhyiddin. – ShahbudinHusin 15Februari2026.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x