Menjadi bualan ramai ketika ini tentang kemungkinan Khairy Jamaluddin akan kembali diterima semula sebagai ahli UMNO.
Diberitakan isyarat dan restu kemasukan semula KJ itu disampaikan sendiri oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kepada bekas Menteri Kesihatan itu.
Isyarat restu itu difahamkan disampaikan kepada KJ ketika beliau bertemu Zahid Hamidi senasa menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.
Pada pertemuan itu Zahid Hamidi diberitakan telah memaklumkan supaya KJ segera menghantar borang permohonan keahlian semulanya ke dalam UMNO pada kadar segera.
Diberitakan juga, Ahmad Zahid mahukan KJ segera menjadi ahli UMNO untuk peranannya digerakkan membantu BN pada PRN Sabah, 29 November ini.
Selain itu, KJ dikatakan turut dijanjikan untuk diletakkan sebagai calon UMNO di Parlimen Kepala Batas pada PRU16 akan datang.
Kerusi Parlimen Kepala Batas selama berpenggal-penggal sebelum ini dipegang oleh Tun Abdullah Badawi, bapa mertua KJ, tetapi kini disandang oleh pemimpin PAS, Dr Siti Mastura Muhammad yang memenanginya atas tiket PN pada PRU yang lepas.
Ertinya, kemasukan semula KJ ke dalam UMNO dan dijadikan calon, selain untuk membantu BN pada PRN Sabah, adalah juga dalam misi untuk merampas kembali kerusi Parlimen Kepala Batas.
Bersama kemasukan semula KJ ke dalam UMNO, tersebar juga desas-desus beliau bakal diberikan jawatan menteri dalam kabinet madani dalam waktu terdekat ini.
Berikutan tindakan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai PKR, UMNO secara prinsipnya masih memiliki satu kouta jawatan menteri yang belum diisi.
Ini kerana apabila Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR, beliau turut membawa lari jawatan menteri yang diberikan kepadanya sebelum ini atas kedudukannya sebagai pemimpin UMNO.
Zahid Hamidi sendiri pernah menegaskan, UMNO ingin kouta itu segera dipenuhi semula oleh Perdana Menteri di sebalik pahitnya rasa direlakan dalam paksa menerima perbuatan Tengku Zafrul menyertai PKR itu.
Dalam premis ini, KJ memang sesuai dan layak untuk dibawa semula ke dalam kabinet bagi melonjak imej UMNO agar mampu memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16 akan datang.
Keinginan memenangi lebih banyak kerusi itu selaras dengan keinginan Zahid Hamidi sendiri yang mahu menjadikan UMNO kembali dominan dalam persada politik negara selepas PRU akan datang.
Berkaitan hal ini dan bagi memastikan keinginan menjadikan UMNO kembali dominan itu benar-benar menjadi kenyataan, adalah dirasakan membawa masuk KJ seorang saja tidak memadai.
UMNO perlu membawa masuk semula semua pemimpinnya yang dipecat dan digantung keahlian pasca PRU tahun 2022 yang lepas, kecuali yang telah memilih untuk berhijrah menyertai parti lain.
Mendahulu senarai itu tentunya ialah bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein atau H2O, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan yang merupakan pasangan KJ dalam podcast Keluar Sekejap serta beberapa bekas Ketua UMNO Bahagian yang lain daripada beberapa negeri.
Semua mereka terbabit harus diterima semula kepada ke dalam UMNO sebagai isyarat inklusifnya Zahid Hamidi menerajui parti itu menuju matlamat kembali dominan yang dicita-citakan.
Kalau KJ yang dipecat boleh diberikan isyarat yang direct agar mengisi semula borang keahlian UMNO, tiada sebab H20 dan mereka yang digantung tidak boleh juga diberikan isyarat agar segera mengemukakan rayuan.
Memang dulu H2O pernah bertegas enggan membuat sebarang rayuan, namun jika ada isyarat yang jelas datang daripada mulut Zahid Hamidi, pasti segala-galanya jadi lebih senang.
Lagi pula, H2O pernah bergandingan dengan Zahid Hamidi pada awal 1990an dulu ketika menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Yang jelas, imej UMNO di mata rakyat akan menjadi lebih baik jika Zahid Hamidi dapat berlapang dada menerima kembali semua mereka terbabit, tanpa seorang pun dibiarkan tertinggal di tepi jalan.
Terlanjur nak bawa KJ masuk semula ke dalam UMNO, lebih elok dan manis jika dibawa semua sekali, lagi pun kedudukan Zahid Hamidi menerajui parti sudah terlalu kukuh untuk digugat oleh sesiapa pada ketika ini. – ShahbudinHusin 01November2025.
Leave a Reply