Apabila Bersatu mengalami pergolakan dengan ada pemimpinya dipecat dan digantung keahlian baru-baru ini, ramai penyokong kerajaan gembira dengan keadaan itu.
Malah, apabila semalam mesyuarat khas Bersatu memutuskan untuk kembali bertaut dan menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku, langkah itu langsung tidak dipercayai.
Kata mereka, Bersatu akan terus berpecah dan bakal “bungkus” dalam PRU akan datang.
Benarkah?
Pertama, biar dijelaskan bahawa memang benar Bersatu agak berpecah, tetapi mereka segera menyedari kerugiannya dan nampaknya sedang berusaha untuk memulihkan keadaan.
Berjaya atau tidak langkah pemulihan dan penyatuan itu, biar masa yang menentukannya.
Dengan itu, sama ada Bersatu akan “bungkus” atau tidak, bukan penyokong kerajaan madani jadi penentunya.
Pun begitu, sementara Bersatu kelihatan agak berpecah, tetapi PAS, rakan komponen utama dalam PN masih gagah dan kukuh kedudukannya.
Dengan itu, penyokong pembangkang yang masih kekal menolak PH/BN, mereka masih boleh menjadikan PAS sebagai pilihan.
Untuk penyokong pembangkang beralih menyokong kerajaan hanya kerana pergolakan yang berlaku dalam Bersatu, ia hampir mustahil sama sekali.
Yang kedua, dalam memperkatakan pergolakan dalam Bersatu, jangan pula lupa tentang PKR, parti utama dalam PH dan kini mengetuai kerajaan, masih lagi berpecah sehingga kini susulan pemilihan parti yang mengakibatkan Rafizi Ramli “dikerat” tanpa dihargai budinya selama ini kepada parti.
Berikutan pemilihan tersebut, selain Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai menteri dan jawatan mereka belum mampu diganti sehingga kini, kumpulan mereka juga makin menjauhi kerajaan madani yang dipimpin Anwar Ibrahim.
Rafizi dan sejumlah Ahli Parlimen PKR yang masih bersamanya sentiasa saja bersikap kritikal terhadap kerajaan dalam isu-isu yang berlaku dalam negara.
Dalam isu kehakiman, mereka sebelum ini lantang bersuara sambil menuntut ditubuhkan RCI dan dalam isu perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat, Rafizi ternampak lebih keras kritikannya dan mengkritik perbuatan Anwar menari meraikan kedatangan Trump.
Semua apa yang dilakukan Rafizi dan kumpulannya itu pastinya menghakis lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang sudah sedia terhakis dengan pelbagai isu sejak hampir tiga tahun lalu.
Lebih jauh daripada itu, penyokong-penyokong Rafizi dalam PKR masih lagi berterusan mengkitik dan menghentam pimpinan parti berikutan gagal bertindak terhadap banyak aduan yang mereka failkan mengenai pemilihan lalu.
Jika ini berterusan, adalah dijangka sekurang-kurangnya 30 peratus penyokong Rafizi tidak akan mengundi calon-calon PKR pada PRU16 akan datang.
Sekarang pun di media sosial boleh dilihat bagaimana penyokong Rafizi, pantang ada kesempatan, kritikan mereka kadangkala lebih berbisa daripada pembangkang.
Keadaan tentunya lebih buruk jika Rafizi digugurkan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.
Itu belum dikira lagi dengan penyokong atas pagar dan tidak berparti yang selama ini mengkagumi Rafizi yang turut menjauhi PKR pada PRU16 nanti lantaran kecewa bagaimana bekas Timbalan Presiden itu diperlakukan.
Kesimpulannya, sementara Bersatu memang bergolak, tetapi pimpinan parti itu sekurang-kurangnya segera mahu memulihkan keadaan, malangnya perpecahan dalam PKR akibat pemilihan yang lepas masih lagi berterusan dan penyokong Rafizi ternampak kekal menjauhi parti.
Dengan itu, agak-agak siapa akan “bungkus” pada PRU16 nanti? – ShahbudinHusin 05November2025.
Leave a Reply