Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

TRUMP DATANG MALAYSIA – PAS GESA UMNO, AMANAH NYATA PENDIRIAN

PAS menggesa Amanah dan Umno menyatakan pendirian berhubung kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara ini sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, bulan depan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua parti itu masih membisu ketika rakyat sedang menanti penjelasan kepimpinan mereka.

“Pada suatu ketika dahulu Amanah pernah mengakui bahawa mereka adalah parti yang berprinsip dan tegas, bukannya sekadar parti yang hanya menurut perintah (yes man).

“Malah, sejarah mencatatkan bahawa presiden Amanah (Mohammad Sabu) merupakan antara tokoh yang lantang menentang pencerobohan dan penindasan Israel serta mengecam sikap Amerika Syarikat di Timur Tengah.

“Di manakah pendirian tegas Amanah terhadap isu Palestin hari ini? Mengapa mereka terus membisu terhadap tindakan perdana menteri (Anwar Ibrahim) menjemput Trump ke Malaysia sebagai tetamu kehormat, sedangkan tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin?

“Kami juga mengharapkan suara ketegasan daripada Umno dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tegas Tuan Ibrahim, sikap membisu kedua-dua parti itu hanya akan dilihat sebagai tanda persetujuan terhadap kedatangan Trump ke negara ini.

“Ketika dunia sedang mengutuk kekejaman Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, sikap membisu ini amat mengecewakan dan pasti melukakan hati umat Islam di negara ini yang bersolidariti bersama saudara mereka di Palestin.

“Nyatakanlah pendirian kita dengan jelas, agar kita tidak termasuk dalam golongan yang diancam. Apakah kita sanggup berdiam diri hanya kerana alasan ekonomi, sedangkan kita mempunyai pilihan lain?” Soalnya.

Terdahulu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kehadiran Trump pada sidang kemuncak yang akan berlangsung di ibu negara itu amat tepat pada masanya, khususnya ketika perspektif global sedang berubah dan semakin banyak negara menyatakan sokongan terhadap kebebasan Palestin daripada kekejaman rejim Israel.

Tambah jurucakap kerajaan itu, kehadiran Trump membolehkan negara Asean menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin serta mengkritik sikap hipokrit sesetengah negara dalam menangani isu tersebut.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim menyifatkan langkah mengundang Trump ke persidangan Asean bukanlah suatu keutamaan.

“Ketika saudara-saudara kita di Palestin terus dizalimi tanpa belas ihsan oleh Israel yang disokong Amerika Syarikat, menjemput Donald Trump untuk hadir ke Persidangan Asean bukanlah suatu keutamaan.

“Ingatlah, saudara kita di Gaza terus dibunuh, dan tindakan kita akan memberi isyarat penting kepada seluruh dunia. Sikap kita menentukan maruah negara,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Pada 18 Sept lalu, AS menggunakan kuasa vetonya buat kali keenam di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan di Gaza.

Resolusi itu disokong oleh 14 daripada 15 anggota majlis dan ditaja oleh 10 negara anggota tidak tetap.

Teks tersebut turut menuntut Israel membuka sekatan bantuan kemanusiaan dan menghentikan serangan ketenteraan di Gaza City.

Setakat semalam angka korban rakyat Palestin meningkat kepada 65,926 orang dengan 167,784 lagi cedera akibat konflik Hamas-Israel sejak 7 Oktober 2023.

Sementara itu, lebih 750,000 penduduk Gaza telah dipaksa meninggalkan kediaman dan menuju ke selatan wilayah tersebut, susulan peningkatan serangan ketenteraan rejim zionis di kawasan berkenaan.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/756461

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x