Daripada tiga calon yang disebut-sebut akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan 23 Mei depan, hanya Rafizi Ramli setakat ini telah mengesahkan sedia untuk bertanding.
Dengan disebut bakal dicabar oleh Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Ekonomi itu bahkan sedia jika ditakdirkan kemenangan tidak memihak kepadanya kali ini.
“Saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta bersama calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan ini untuk memperkukuh parti.
“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan dalam kepimpinan parti sebagai timbalan presiden dan dalam kerajaan melalui saluran rasmi.
“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nurul Izzah masih belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak, tetapi menyatakan akan memberikan keputusan terbaik demi membina masa depan parti.
Saifuddin Nasution juga belum membuat keputusan dan barangkali masih perlu menunggu petunjuk melalui solat istikharah.
Begitu pun, berbanding ketiga-tiga calon yang ada, Nurul Izzah dilihat secara tiba-tiba menerima sokongan yang luar biasa untuk memegang jawatan nombor dua itu.
Selain banyak cabang di seluruh negara telah menzahirkan sokongan, beberapa PKR negeri juga menzahirkan sokongan terbuka mereka kepadanya.
Ketua AMK dan Ketua Wanita PKR turut memeriahkan lagi suasana dengan bersama-sama memberikan sokongan kepada Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru.
Sokongan yang diterima oleh Nurul Izzah dalam dua tiga hari kebelakangan ini seumpama gelombang yang bakal menjelma menjadi tsunami.
Tidak pernah dalam sejarah PKR sebelum ini ada mana-mana pemimpin menerima sokongan yang begitu melimpah seperti yang diterima Nurul Izzah ini.
Semua ini tidak lain adalah petunjuk keinginan yang begitu kuat daripada ahli-ahli parti yang mahukan Nurul Izzah mengisi kerusi Timbalan Presiden berbanding mengekalkan Rafizi.
Untuk itu, kepada Nurul Izzah – jangan sia-siakan dan jangan lepaskan peluang keemasan yang datang ini.
Peluang seperti ini hanya datang sekali dalam hidup, ia mungkin tidak datang lagi pada pemilihan tiga tahun akan datang nanti.
Oleh yang demikian, Nurul Izzah harus menadah segala sokongan yang melimpah ruah sekarang ini dengan tidak menunggu sehingga tarikh akhir 11.59 malam 9 Mei untuk mengumumkan keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Pengumuman mesti dibuat hari ini juga sebelum matahari terbenam.
Jika Nurul Izzah menolak untuk bertanding, beliau bukan saja dilihat tidak sedia untuk berkhidmat kepada parti dalam kapasiti yang lebih besar, bahkan pastinya juga akan mengecewakan mereka yang telah menzahirkan sokongan kepadanya.
Pada pemilihan akan datang, mungkin mereka jadi keberatan untuk terus memberikan sokongan kepadanya.
Keputusan Nurul Izzah untuk bertanding Timbalan Presiden tidak bererti beliau mahu mengenepikan Rafizi atau melupai jasa serta sumbangannya selama ini.
Jasa dan sumbangan Rafizi tetap diingati, tetapi ini soal peluang dan kesediaan menawarkan diri untuk berkhidmat.
Lagi pun, Rafizi terbuka untuk menerima kekalahan, malah mengatakan jika kalah, ia adalah peluang untuknya kembali menjadi pemimpin akar umbi yang lincah di peringkat bawah.
Cantiklah tuuu!!
Kepada Saifuddin Nasution pula, jika Nurul Izzah bertanding, eloklah beliau tarik diri daripada turut bersaing agar laluan menjadi lebih mudah buat “Puteri Reformasi” itu. – ShahbudinHusin 08Mei2025.