Agak sedih dengan nasib yang menimpa Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Chow Yu Hui yang kini ditahan polis terkait kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi menebang pokok durian Musang King di Raub, baru-baru ini.
Turun ditahan polis bersama wakil rakyat DAP itu ialah Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang.
Ada beberapa sebab kenapa kita patut berasa sedih dengan apa yang berlaku kepada beliau itu.
Pertama, sebagai Ahli Parlimen kerajaan di mana DAP merupakan komponen penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan, bahkan parti itu juga yang memungkinkan UMNO kekal memegang jawatan Menteri Besar Pahang, Chow tidak sepatutnya bertindak menyebelahi pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan itu secara haram.
Beliau seharusnya mengusahakan perundingan antara pekebun durian dengan kerajaan negeri agar penyelesaikan secara aman dapat dicapai.
Kedua, Chow tidak wajar sama sekali bertindak secara jalanan untuk menyelesaikan sesuatu perkara kerana DAP sekarang bukan lagi pembangkang, tapi komponen penting dalam kerajaan.
Nampaknya beliau masih gagal membezakan peranan sebagai Ahli Parlimen kerajaan dengan peranan Ahli Parlimen pembangkang yang biasa dimainkan DAP sebelum ini.
Apa-apa masalah yang melibatkan pengundi yang diwakilinya dengan pihak kerajaan, Chow harus memilih jalan perundingan berbanding konfrantasi atau demonstrasi.
Ketiga, apabila sudah berada di pihak kerajaan, apa-apa perkara yang haram – tanah haram, kuil haram, tokong haram, pendatang haram dan segala jenis yang haram mestilah dijauhi daripada diperjuangkan.
Ahli Parlimen kerajaan mesti bertindak secara halal atau mengikut undang-undang dan hanya memperjuangkan perkara yang halal saja.
Apabila bertindak menyebelahi peneroka tanah haram dan menghalang agensi penguatkuasa melaksanakan undang-undang, bererti tindakan itu adalah haram dan bercanggah dengan undang-undang.
Sedemikian, tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa atas apa yang dilakukannya itu.
Lantaran itu, tiada apa yang boleh dilakukan kerajaan untuk mempertahankan beliau dalam isu ini.
Bahkan DAP sendiri menyerahkan kes penahanan beliau kepada proses undang-undang untuk diselesaikan.
Apa lagi, dalam kes penerokaan tanah haram itu turut menyebabkan Sultan Pahang menzahirkan rasa murka baginda kerana ia berlaku sangat berleluasa.
Kemurkaan baginda itu, jika difahami, selain ditujukan kepada mereka yang meneroka tanah itu secara haram, ia juga ditujukan kepada agensi-agensi tertentu dalam kerajaan negeri yang gagal bertindak sewajarnya.
Hakikatnya, penerokaan tanah secara itu adalah dilakukan secara besar-besaran dan telah berleluasa sejak puluhan tahun lamanya.
Maka, mustahil agensi penguatkuasa berkaitan tidak nampak apa-apa.
Meskipun demikian, kerajaan negeri juga tidak sepatutnya melakukan operasi menebang secara besar-besaran kebun durian terbabit dan di ketika ada bantahan sedang diadakan.
Penyelesaikan secaca harmoni patut diusahakan demi kebaikan bersama.
Oleh kerana tanah yang diteroka itu adalah tanah kerajaan, kerajaan sepatutnya menggunakan saluran undang-undang untuk mengambil balik tanah berkenaan tanpa memusnahkan pokok-pokok durian yang telah ditanam itu.
Peneroka haram pula sebenarnya tidak boleh marah jika tanah berkenaan diambil oleh kerajaan kerana mereka telah mengusahakannya secara haram serta mengaut keuntungan hasil tanaman durian selama berpuluh-puluh tahun lamanya.- ShahbudinHusin 14April2025.
Leave a Reply