Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

PEMIMPIN UMNO TAK HARUS MALU DENGAN NARATIF ‘UMDAP’, CONTOHILAH KEIKHLASAN DAP

Di sebalik isu UmDap yang terus diperkatakan, malah sekali lagi dijadikan bahan kempen dalam PRK Ayer Kuning, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan bagaimanapun tampil menafikan sebarang penggabungan antara UMNO dengan DAP.

Katanya, UMNO tidak pernah sama sekali bergabung dengan DAP.

Sebaliknya ujar Menteri Luar Negeri itu, BN hanya menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH yang ada DAP di dalamnya berdasarkan perjanjian dengan gabungan parti berkenaan.

“UMNO dan BN menubuhkan kerajaan adalah kerana kita hendak mengurus negara lantaran selepas PRU15 lalu tidak ada parti yang memperolehi jumlah kerusi Parlimen mencukupi bagi menubuhkan kerajaan.

“Jadi UMNO dan BN sebagai parti yang lama menjadi kerajaan sedia untuk bekerjasama dengan PH supaya kepentingan negara dapat diutamakan dan kerajaan dapat ditubuhkan.

“Kita tidak bergabung sebelum pilihan raya sepertimana pihak lain menubuhkan gabungan untuk menghadapi PRU,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berharap agar penjelasan yang diberikan itu dapat difahami semua pihak bahawa UMNO dan BN tidak pernah bergabung dengan DAP serta PH.

“Tidak benar apa yang disebut bahawa UMNO bergabung dengan mana-mana pihak terutamanya tuduhan liar mengatakan UMNO itu UmDap atau UMNO telah bergabung dengan DAP.

“Kami tidak bergabung dengan sesiapa sehingga sekarang,” tambahnya lagi.

Penjelasan Tok Mat itu, walaupun boleh dikira baik, tetapi ia hanya boleh dikira separuh benar saja dan bukan benar sepenuhnya.

Ini kerana, walaupun betul UMNO dan DAP tidak bekerjasama sebelum PRU lalu dan hanya bekerjasama selepas PRU15, namun selepas itu, kerjasama atau penggabungan antara UMNO yang mengetuai BN dan DAP yang memiliki paling banyak kerusi dalam PH sebenarnya sahih kewujudannya.

Selain kerjasama dan penggabungan itu wujud untuk membentuk kerajaan pusat dan kerajaan negeri di Pahang serta Perak, kerjasama dan bergabung tenaga juga turut wujud dalam beberapa PRK yang diadakan selepas PRU15 serta dalam PRN enam negeri pada 2023 lalu.

Bahkan dalam PRK Pelangai di Pahang pada 2023 misalnya, ramai pemimpin UMNO sendiri mengakui kemenangan calon BN, Amizar Abu Adam ketika itu adalah kerana bantuan DAP yang berjaya menarik sokongan pengundi-pengundi Cina.

Jadi, tak betullah bila Tok Mat kata, UMNO dan DAP tidak pernah bergabung sehingga sekarang.

Soalnya, kenapa UMNO harus malu bersama dengan DAP dan mengapa di Ayer Kuning ini, UMNO sekali lagi mahu menafikan kewujudan saling bergabung dan bekerjasama antara mereka dengan DAP?

Bukankah pengundi Cina ada 22 peratus di Ayer Kuning?

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO, mulai sekarang, lebih baiklah berhenti menafikan naratif UmDap yang kini ditimbulkan semula oleh pihak lawan iaitu PN.

Lebih baik, bahkan amat terpuji jika UMNO mula bertindak berani mengakui DAP kini adalah rakan mereka, bukan saja dalam membentuk kerajaan selepas PRU15, bahkan tidak mustahil berterusan dalam menghadapi PRU16 akan datang.

Terimalah realiti bahawa, disebabkan MCA sudah semakin tidak diyakini oleh pemgundi Cina, DAP adalah ibarat kekasih baru yang lebih cantik dan menarik untuk didampingi.

Contohilah keberanian Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang dengan yakin mengetuai laungan “UmDap mantap, UmDap mantap, UmDap mantap” di Ayer Kuning sebagai simbolik parti itu tidak malu dan sentiasa ikhlas berkawan dengan UMNO.

Harap-harap selepas ini segeralah tampil pemimpin UMNO pula mengetuai laungan “UmDap mantap, UmDap mantap, UmDap mantap” sebagai menyahut kejujuran Nga Kor Ming itu. – ShahbudinHusin 19April2025.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
Anonymous
19 April 2025 5:37 pm

TOK MAT HASSAN NI SAH MABOK KETUM @ WAYAR SHORT @ DISAMPUK JEMBALANG PUAKA👹…🤣 KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH KAH… Read more »

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x