Semalam, Muhyiddin Yassin ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama media antara lain mengungkapkan kata-kata bahawa “PN adalah kerajaan menanti”.
Maksud beliau itu ialah PN berpotensi untuk mengambil alih kerajaan selepas PRU16 akan datang.
Di media sosial, mereka yang pro kerajaan terlihat begitu ghairah memperlekeh dan memandang rendah kata-kata Muhyiddin itu dengan mengingatkan beliau adalah Perdana Menteri yang gagal ketika PN berkuasa sebelum ini.
Ertinya, bagi penyokong PH, janganlah mimpilah Muhyiddin untuk kembali sebagai Perdana Menteri.
Di negara ini hanya ada tiga gabungan parti yang berpotensi menjadi kerajaan – PH, PN dan BN.
Ketika ini, PH bersama BN telah bekerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan, meskipun pada PRU15 lalu kedua-duanya bermusuhan dan saling serang-menyerang antara satu sama lain dan PH siap mencipta sebuah lagu “hoi hoi ya hoi” sebagai peluru berpandu untuk menghancurkan peluang kemenangan BN.
Tetapi, itulah politik – batu sempadan untuk berubah jadi kawan atau musuh dalam dunia politik kadangkala lebih nipis daripada kulit bawang.
Berikutan kerjasama PH dan BN itu, maka jadilah PN sebagai pembangkang.
Namun demikian, setelah lebih dua tahun menjadi kerajaan dan sebagaimana semua orang sedar dan melihatnya sendiri, rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan sentiasa membesar hari demi hari.
Banyak isu penyebabnya – isu kaum dan agama, kos sara hidup, janji tak ditunaikan, dulu ketika pembangkang cakap lain dan setelah jadi kerajaan cakap lain serta pelbagai lagi.
Hakikatnya, kerajaan perpaduan ini sentiasa menjadi pertikaian dalam banyak hal dan sokongan rakyat tidak terlihat bertambah.
Berikutan perkembangan itu, tambahan lagi PN sudah sedia memenangi 74 kerusi Parlimen, bukanlah suatu kesalahan dan bahkan siapa pun yang mengetuai PN ketika ini, mereka pasti mengatakan “PN adalah kerajaan menanti”.
Dulu Anwar Ibrahim juga sering digambarkan sebagai Perdana Menteri menanti atau seperti diungkapkan oleh Ahmad Maslan – PM Tepi.
Anwar bagaimanapun berjaya akhirnya menjadi Perdana Menteri dengan bantuan UMNO dan Ahmad Maslan pun sekarang nampak bangga dapat berketuakan Anwar.
Sekali lagi, itulah politik – berubah daripada mengeji kepada memuji hanya dibezakan seperti nipisnya kulit bawang saja.
Tidak salah untuk PN mendakwa mereka sebagai kerajaan menanti kalau dilihat daripada semakin berkembangnya rakyat ketika ini berasa tak puas hati.
Lagi pula, oleh kerana PH dan BN sudah jadi kerajaan, hanya PN sajalah satu-satunya kerajaan menanti yang ada.
Sama ada penantian itu menjadi kenyataan atau sebaliknya, tunggulah keputusan PRU16 nanti.
Bagi BN, oleh kerana parti itu sedang “cium mulut” dengan PH, sudah pasti mereka tak berani untuk mengungkapkan kata-kata “BN kerajaan menanti”.
Paling berani pun hanyalah sekadar ingin dominan kembali.
Jadi, tiada salahnya bila Muhyiddin kata “PN adalah kerajaan menanti”.
Begitu pun, di sebalik impian Muhyiddin bahawa “PN adalah kerajaan menanti”, ia tidaklah bermakna Ahli Parlimen Pagoh itu secara automatik bakal naik semula sebagai Perdana Menteri.
Jika ditakdirkan PN menang PRU16 akan datang, selain Muhyiddin, calon-calon lain seperti Hamzah Zainuddin, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Azmin Ali adalah antara mereka yang boleh mengisi jawatan tersebut.
Malah, kalau ditakdirkan pada PRU16 akan datang PN hanya memerlukan sedikit saja lagi tambahan kerusi untuk membentuk kerajaan, manakala PH pula kehilangan banyak kerusi disebabkan rakyat sudah hilang rasa percaya, tidak mustahil jika BN pula berada dalam kedudukan boleh mencukupkan bilangan, maka parti itu akhirnya akan bergabung dengan PN untuk membentuk kerajaan baharu.
Kalau kena runding dan tawar-menawarnya, tidak mengejutkan jika Zahid Hamidi yang akan jadi PM11 akhirnya walaupun PN yang menang banyak kerusi.
Bukankah sebelum ini Zahid Hamidi pernah mengakui beliau ada ditawarkan jawatan Perdana Menteri oleh PN.
Sekarang memang dia menolak, selepas PRU16 akan datang boleh jadi hati Zahid Hamidi juga senipis kulit bawang jadinya. – ShahbudinHusin 20Mac2025.
Leave a Reply