Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KETUA HAKIM NEGARA DISARAN REHATKAN TERRIRUDIN SEBAGAI HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Seorang peguam kanan mencadangkan agar Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat merehatkan bekas peguam negara Terrirudin Ahmad daripada tugasnya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sehingga kes titah adendum tahanan rumah Najib Razak selesai.

Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, hal ini kerana terdapat persoalan serius berhubung kredibiliti, ketelusan dan integriti melibatkan Terrirudin ketika menjadi peguam negara.

Katanya, Terrirudin tidak mengambil keputusan yang sepatutnya sebagai peguam negara ketika menerima titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 apabila seolah-olah membiarkan dokumen yang mempunyai implikasi undang-undang tidak dizahirkan sehingga Najib memfailkan tuntutan di mahkamah.

Menurut Hasnal Rezua Merican, Terrirudin juga gagal memberi nasihat kepada Saifuddin Nasution Ismail untuk menjawab berkenaan isu tersebut di Parlimen sehingga menteri dalam negeri itu disifatkan memberi jawapan mengelirukan apabila menyebut titah adendum tersebut hanya khabar angin.

Beliau berkata, ketika prosiding kes itu memasuki peringkat Mahkamah Rayuan juga, Terrirudin tidak menyatakan menerusi afidavit bahawa titah adendum tersebut wujud atau sebaliknya.

“Sepatutnya peguam negara menghadap Sultan Pahang yang pada masa itu Agong (ke-16) untuk membincangkan soal titah adendum tetapi beliau tidak lakukan.

“(Terrirudin) tak beritahu kepada kerajaan kewujudan titah adendum. (Beliau) benarkan menteri (dalam negeri) ‘mislead’ Parlimen dan (beliau) juga ‘mislead’ mahkamah.

“Ini kesalahan serius oleh bekas peguam negara dan kesalahan ini bukan dari nature (situasi) yang boleh kita alpakan,” katanya pada sesi dialog awam ‘Rakyat Mencari Kebenaran: To Gag Or Not To Gag, What’s The Order?’ di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Turut hadir, peguam kanan Haniff Khatri Abdulla dan pakar geostrategi Azmi Hassan sebagai ahli panel.

Hasnal Rezua Merican berkata, kini sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Terrirudin berkedudukan membuat keputusan penting, sedangkan kredibilitinya tidak terjamin.

Tambahnya, tindakan merehatkan Terrirudin sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sehingga kes titah adendum selesai dilihat sebagai langkah sesuai, berbanding membentuk tribunal bagi melucutkan jawatannya sebagai hakim ketika ini.

Sementara itu, Haniff Khatri menyifatkan perintah larangan bersuara (gag order) berkaitan kes titah adendum sebagai tindakan `licik’ Jabatan Peguam Negara untuk menutup kesilapan mereka dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu.

“Pada saya, mereka (Jabatan Peguam Negara) buat permohonan ‘gag order’ ini bukan sebenarnya untuk jaga kesucian prosiding, tetapi lebih kepada untuk menutup kealpaan dan kekhilafan sendiri,” katanya.

Pada 20 Jan lepas, Jabatan Peguam Negara mengesahkan sudah memfailkan permohonan perintah ‘gag order’ melarang mana-mana pihak daripada membincangkan kes titah adendum.

Haniff Khatri berkata, permohonan itu tidak akan menjejaskan prosiding kes di mahkamah memandangkan ia tiada kena-mengena dengan kewujudan fizikal titah adendum.

“Dari sudut perundangannya, kalau nak ‘gag order’ atau perintah perlindungan atau tutup mulut ini, biasanya adalah untuk menentukan perbicaraan tak tergugat,” katanya.

“Tetapi bagaimana perbicaraan itu boleh tergugat melalui ‘gag order’ sedangkan isu dedah atau tidak dedah (titah adendum) bukan isu di hadapan mahkamah.”

Sementara itu, Azmi tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat campur tangan politik dalam isu titah adendum, menyebabkan peguam negara pada masa itu tidak mengesahkannya.

“Dalam hal ini, faktor politik memainkan peranan amat penting. Bagi saya, kalau (kerajaan) nak selamatkan negara, mungkin mantan peguam negara ini dijadikan kambing hitam untuk selamatkan kerajaan.

“Dan kemungkinan juga mantan peguam negara tidak beritahu sama ada terdapat titah adendum itu wujud atau tidak adalah untuk selamatkan kerajaan,” katanya.

Bulan lepas, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum yang dikeluarkan oleh Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Titah addendum itu dikatakan membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki tempoh penjaranya sebagai tahanan rumah. Dia kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun, yang dikurangkan separuh daripada hukuman 12 tahun yang asal, berikutan sabitannya dalam kes SRC International.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/02/15/rehat-terrirudin-hingga-kes-titah-adendum-selesai-cadang-peguam/

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

2 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
Anonymous
18 February 2025 1:38 pm

Apa pulak nak suruh hakim direhatkan? Tak perlu pun. Dia tak akan dengar pun kes berkait adendum.

Anonymous
Anonymous
17 February 2025 3:34 pm

SYABAS TERUDDIN. HANG ADA AKAI DAN ADA TELOQ. BUKAN MACAM BLOGGER BUDIN TU….DOK GILA NAK MELEPASKAN PENYAMUN DARI PENJARA. SI BUDIN NI INGAT KALAU NAJIB LEPAS DIA BOLEH DAPAT DURIAN RUNTUH GAMAKNYA. PIIRAHHHH. DIA TAK INGAT KAT HANG LA BUDIN MACAM ABAM NON JUGA…DAH JADI PM, DEPA TAK PANDANG PUN MUKA DAN JASA HANG….

2
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x