Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan memberi amaran bahawa kerjasama antara UMNO dan Pas dalam perhimpunan solidariti untuk Najib Razak pada 6 Januari depan boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan parti itu dalam kerajaan perpaduan.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan UMNO membentuk kerajaan perpaduan sejak 2022 lalu.
βSebagai ahli kerajaan perpaduan, tindakan sedemikian secara terbuka berniat mencabar malah menggugat kestabilan politik kerajaan perpaduan dan kedudukan Perdana Menteri,β katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Lim turut menyeru Anwar Ibrahim agar mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi isu ini demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
Kenapa DAP harus risau dan bimbang dengan kebersamaan UMNO dan Pas dalam himpunan solidariti tersebut?
Sebenarnya, tiada apa-apa yang perlu parti itu bimbangkan, apa lagi menaruh rasa curiga terhadap keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan hanya disebabkan parti itu dan Pas bersama dalam suatu perhimpunan.
Membela dan memberi sokongan kepada Najib memang merupakan perjuangan UMNO sejak dulu lagi.
Kalau kali ini UMNO tampil sekali lagi menunjukkan sokongan kepada Najib, ia adalah sesuatu yang normal dan harus diterima dengan lapang dada oleh semua.
Penyertaan Pas pula dalam himpunan solidariti itu, selain mahu Najib diberi keadilan berdasarkan titah adendum Agong-16 yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu diberi tahanan rumah, sokongan parti itu juga ialah berkaitan untuk memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan memastikan kemuliaan kedudukan Raja-Raja Melayu dengan segala titah Istana tidak sepatutnya disembunyikan.
Berikutan itu, bukan saja Pas wajar berhimpun pada 6 Januari depan, malah sesiapa juga yang sejiwa dengan pendirian parti itu patut turun sama ke Putrajaya.
Hakikatnya, tindakan kerajaan berdolak-dalik dan menyembunyikan titah adendum itu sehingga Najib terpaksa membawa kes ke mahkamah untuk pengesahan adalah duluan yang sangat membimbangkan serta tidak boleh dibiarkan berulang lagi di masa depan.
Mereka yang sayangkan masa depan negara ini, seharusnya tidak berfikir dua kali untuk turut sama berhimpun di depan Istana Kehakiman, Putrajaya.
Jika UMNO dan Pas boleh mengumpul kehadiran sehingga 15 ribu atau 20 ribu, ia adalah petanda yang baik kepada masa depan negara ini.
Ia menunjukkan masih ramai yang sanggup untuk bangun mempertahankan apa-apa kecurangan oleh pemerintah berkaitan kedaulatan undang-undang, keluhuran perlembagaan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu.
Yang bahaya kepada masa depan negara adalah jika semua orang tidak kisah dan mengambil sikap tak mengapa, seterusnya kekal memilih untuk terus mengampu pemerintah saja.
Cumanya, jika DAP masih curiga dan tak percaya terhadap UMNO kerana ternampak sudah mula mahu bersama dengan Pas, parti itu sebaiknya memilih untuk turun sama bersolidariti pada 6 Januari depan.
Jika DAP dapat turun sama, pasti mereka tidak curiga lagi kepada UMNO.
Dengan turut serta dalam himpunan itu nanti, Anwar juga tidak perlu susah payah lagi untuk mengekalkan keyakinan rakyat kepada kerajaan perpaduan.
Walaupun DAP ada 40 kerusi Parlimen, kalau mereka dapat bawa 1000 orang ke himpunan solidariti pada 6 Januari nanti pun sudah dikira lebih daripada memadai.
Janganlah Lim bising-bising mengomel lagi pasal UMNO, sebaliknya mulailah kumpul orang daripada sekarang. – ShahbudinHusin 31Disember2024.
Leave a Reply