Belum pun kering gusi rakyat memperkatakan isu titah adendum dan Pulau Batu Puteh, kini timbul pula isu baru yang tidak kurang gemparnya dalam politik negara kita.
Isu itu ialah perletakan jawatan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung PN.
Banyak pihak melihat perletakan jawatan Menteri Besar Terengganu itu sebagai petanda berlakunya bibit-bibit perpecahan dalam PN.
Apatah lagi, Dr Ahmad Samsuri arau lebih dikenali sebagai Dr Sam sekadar memberi bayangan yang samar-samar mengenai perletakan jawatannya.
Beliau memuat naik satu petikan daripada bekas pemain bola keranjang terkenal, Kareem Abdul-Jabbar berkenaan perletakan jawatannya itu.
“Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai.
“Ianya mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah,” kata beliau yang menulis melalui Facebooknya.
Dr Ahmad Samsuri seterusnya dipetik sebagai berkata, beliau akan memberi kenyataan penuh mengenai sebab-sebab perletakan jawatannya pada masa yang sesuai nanti.
Maklumat awal daripada pelbagai sumber mengatakan, sebab utama Dr Ahmad Samsuri mengundurkan diri ialah kerana ingin mempertahankan maruah Pas di dalam PN.

Ia dikatakan kerana ramai pihak dalam Pas tidak begitu senang dengan perlantikan baru dalam kepimpinan PN yang diumumkan Muhyiddin baru-baru ini.
Dalam pengumuman tersebut, diumumkan Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung, Ahmad Faizal Azumu atau Peja selaku Ketua Penerangan dan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita, manakala Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Pengerusi bersama Hadi Awang, Dominic Lau dan Punithan Paramaiven.
Dr Ahmad Samsuri dikekalkan sebagai Bendahari Agung, begitu juga Afnan Hamimi Taib Azamudden turut dikekalkan sebagai Ketua Pemuda.
Pelbagai pihak di dalam Pas dilaporkan kurang senang dengan perlantikan tersebut yang dilihat terlalu memberi kelebihan kepada Bersatu, meskipun Pas memiliki jumlah Ahli Parlimen yang lebih ramai berbanding Bersatu.
Cubaan Pas untuk melobi agar Takiyuddin Hasan dijadikan Setiausaha Agung sebelum ini juga tidak berjaya menjadi kenyataan di mana Muhyiddin tetap mahukan Azmin untuk jawatan tersebut.
Hanya diberikan jawatan Bendahari Agung dalam senarai lantikan pegawai PN dianggap seperti Muhyiddin cuba membebankan Dr Ahmad Samsuri dengan usaha mencari kewangan bagi menghadapi PRU16 akan datang.
Dengan itu, pengunduran Dr Ahmad Samsuri dikatakan sebagai protes senyap terhadap perlantikan yang dibuat Muhyiddin yang dianggap tidak adil kepada Pas sebagai parti yang lebih dominan dari segi jumlah Ahli Parlimen, kekuatan ahli dan kelebihan jentera ketika pilihanraya.
Difahamkan perletakan jawatan Dr Ahmad Samsuri tidak akan sampai ke peringkat Pas mahu meninggalkan PN, cuma mahukan kedudukan mereka lebih dihargai.
Muhyiddin dalam hal ini harus segera bertindak mencari penyelesaian, tambahan lagi mood rakyat ke arah perubahan semakin jelas kelihatan.
Jangan sampai jalan ke arah perubahan tergendala kerana timbulnya isu-isu seperti ini.
Oleh kerana Dr Ahmad Samsuri sudah mengundurkan diri sebagai Bendahari Agung, memujuknya kembali memegang jawatan yang sama barangkali tidak lagi sesuai.
Begitu juga dengan menukar Takiyuddin menjadi Setiausaha Agung dan mengugurkan Azmin turut tidak wajar dilakukan kerana akan menyebabkan timbul pula masalah yang lain.
Dalam hal ini, apa kata sementara kekal sebagai Pengerusi PN, Muhyiddin dalam waktu yang sama sedia berlapang dada meletakkan Dr Ahmad Samsuri sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri dalam menghadapi PRU16 akan datang?
Lagi pula, antara parti Melayu utama di negara ini, hanya Perdana Menteri daripada Pas kita belum pernah merasa.
Dengan Dr Sam dijadikan “poster boy”, jentera Pas pasti akan lebih kuat bekerja dan memungkinkan parti itu memenangi lebih banyak kerusi Parlimen lagi.
Sekali lagi, apa pendapat anda? – ShahbudinHusin 12Disember2024.
Leave a Reply