Dua hari lalu ketika saya singgah di sebuah cafe untuk merelakskan diri seketika sementara menunggu satu lagi temujanji lain, saya terserempak dengan seorang tokoh yang tidak asing lagi di negara kita.
Tokoh ini kalau saya sebut namanya, pasti ramai yang mengenalinya.
Malah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan sebahagian daripada menteri-menteri kerajaan madani, tentu kenal dan pernah berkomunikasi dengannya.
Menurut ceritanya, tokoh ini kenal dengan Anwar bermula sejak 1982 lagi iaitu selepas bekas Presiden ABIM itu menyertai UMNO dan kemudian beliau turut serta pula dalam membentuk karier anak kelahiran Ceruk Tok Kun itu sehingga berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri di era UMNO berkuasa.
Ertinya, beliau dan Anwar saling kenal-mengenal antara satu sama lain.
Orang politik dan mereka yang mengikuti perkembangan politik negara juga sudah tentu kenal atau setidak-tidaknya tahu dengan tokoh itu.
Tetapi, untuk mengelakkan sebarang gangguan yang tidak perlu, saya memilih untuk tidak menyebut namanya dalam artikel ini.
Jika mereka yang membaca tulisan ini dan kemudian cuba menghubungi saya atau βpm tepiβ untuk bertanyakan namanya – maaflah, saya ingin berahsia kali ini.
Selepas bersalam dan bertanya khabar, dek melihat beliau hanya seorang diri, saya lantas meminta izin untuk duduk bersamanya.
Dengan ramah beliau mempersilakan saya duduk dan selepas itu sambil menghirup kopi panas, kami pun mula berbual-bual.
Selain pelbagai isu yang sedang melanda negara, topik mengenai Anwar tidak lupa saya tanyakan kepadanya.
Selepas dua tahun Anwar menjadi Perdana Menteri, saya fikir pandangan tokoh yang saya temui ini tentu menarik untuk didengari.
Maka itulah saya tidak melepaskan peluang bertanya tentang Anwar kepadanya.
Mengenai Perdana Menteri, tokoh berkenaan dengan tutur kata yang teratur, tetapi tanpa ragu-ragu menyimpulkan – Anwar adalah seperti gunung.
βGunung ini kalau kita lihat daripada jauh, ia cukup cantik dengan warnanya yang biru, tambahan lagi bila selepas hujan dengan ada kabus putih di sekitarnya, keindahannya cukup menawan hati.
βTidak pernah kita dengar orang menyebut gunung yang biru itu tidak cantik di pandang mata.
βTetapi apabila kita berjalan menghampiri gunung itu, kita akan sedar ia bukan berwarna biru, sebaliknya berwarna hijau.
βKemudian apabila kita berjalan lagi sehingga sampai ke kaki gunung, gunung tadi selain tidak lagi biru, ia juga tidak hijau sepenuhnya.
βSebaliknya ia adalah hitam rimba yang bercampur antara warna hijau dan hitam iaitu warna daripada pokok-pokok kayu yang berserakan.
βKetika itu, apabila kita pandang lebih lama, kita akan nampak pula banyak dahan yang tumbang, sisa pokok bersepah dan mungkin termasuk ada pelbagai jenis binatang buas dan merbahaya di dalamnya.
βItulah Anwar, cantik hanya semasa kita melihatnya daripada jauh dan belum menjadi Perdana Menteri tetapi apabila sudah menjadi Perdana Menteri, beliau bukan lagi seperti gunung yang kita lihat daripada jauh tadi.
βAnwar kini ialah seperti kita berada di kaki gunung menatap hutan rimba,β katanya semacam berfalsafah.
Tokoh berkenaan menambah lagi, kalau Anwar ketika ini belum berjaya menjadi Perdana, kita pasti akan terus melihatnya sebagai gunung yang biru dan indah tadi.
Selepas berpisah daripada pertemuan tersebut dan sehinggalah ke hari ini, saya masih tidak mampu menidakkan apa yang disebut tokoh berkenaan mengenai Anwar.
Dalam hati saya berkata, jika Anwar masih Ketua Pembangkang lagi ketika ini, dendangan reformasi, turun harga minyak, turun harga barang, turun tarif letrik dan segala macam lainnya pasti terus menjadi janji yang βmembirukanβ kita semua. – ShahbudinHusin 18Disember2024.
Leave a Reply