Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ZAHID HAMIDI JANGAN TOLAK BEGITU SAJA TAWARAN UNTUK JADIKANNYA PERDANA MENTERI

Ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Wilayah Persekutuan semalam, Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat usaha untuk menarik gabungan itu keluar daripada kerajaan perpaduan dan seterusnya mengangkat pemimpin daripada BN sebagai Perdana Menteri. 

Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pelbagai usaha kini dilakukan pembangkang untuk menjadi kerajaan semula.

“Minggu lalu, ada Ahli Parlimen mereka datang berjumpa dengan saya dan menawarkan sesuatu iaitu mahu membentuk kerajaan baharu di bawah panji-panji Kerajaan Perpaduan. 

“Mereka mahu masuk semula (kerajaan) dan minta (diberikan jawatan) empat menteri. 

“Ada juga yang tawarkan kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada dan melontarkan (menjadikan) kita (pemimpin daripada BN) sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi.

Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau bagaimanapun dengan tegas menolak cadangan berkenaan.

Walaupun Zahid Hamidi menolak cadangan PN itu, tetapi saya ingin mencadangkan agar beliau tidak menutup terus pintu hatinya terhadap pelawaan tersebut.

Jangan letak titik noktah dulu, letak tanda koma saja buat ketika ini.

Kaji dengan mendalam dan tengok kiri kanan terlebih dahulu, jika bersesuaian, jangan sesekali dilepaskan peluang tersebut.

Lagi pun, jika pelawaan blok pembangkang itu ingin menjadikan pemimpin BN sebagai Perdana Menteri, sudah tentulah pemimpin berkenaan adalah dirinya.

Sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, tiada sesiapa yang lain lebih sesuai menjadi Perdana Menteri, kiranya jajaran politik baru berjaya diwujudkan.

Takkan Zahid Hamidi tak mahu jadi Perdana Menteri?

Maka itu, jangan  dilepaskan makanan sedap yang cuba dihidangkan, nanti menyesal hingga akhir zaman.

Kadang-kadang dalam hidup ini, peluang keemasan tidak datang dua kali, ia hanya datang sekali saja.

Sebab itu, sekalo lagi suka saya mengingatkan agar Zahid Hamidi tidak menolak terus cadangan blok pembangkang itu.

Teruskan berhubung dan selalulah berjumpa dengan mereka untuk mewujudkan lagi keserasian.

Tentulah lebih malang jika peluang ini dilepaskan, tapi akhirnya pada PRU16 akan datang, jawatan Timbalan Perdana Menteri yang ada sekarang pun akhirnya hilang.

Tambahan lagi, sesuai dengan hasrat Zahid Hamidi sendiri ingin melihat UMNO dan BN kembali dominan selepas PRU16 akan datang, inilah peluang terbaik untuk merealisasikannya.

Dengan memegang jawatan Perdana Menteri, Zahid Hamidi pasti lebih mudah mencatur kedudukan kerusi bagi UMNO dan BN untuk bertanding pada PRU16 akan datang.

Berbanding dengan kedudukan sekarang, Zahid Hamidi terpaksa akur atau mengalah dalam banyak perkara kepada PKR, DAP dan Anwar Ibrahim berhubung pembahagian kerusi.

Di Wilayah Persekutuan misalnya, hasrat BN untuk bertanding lima kerusi Parlimen pada PRU16 akan datang adalah sesuatu yang sukar jika masih dikepung oleh DAP dan PKR.

Tetapi, bersama jajaran baru dan berjawatan pula sebagai Perdana Menteri, Zahid Hamidi mempunyai lebih kuasa untuk meminta yang lebih daripada jumlah biasa.

Untuk itu, bagi kali ketiga, fikirkanlah semula tawaran keemasan blok pembangkang itu. – ShahbudinHusin 25November2024.

Kongsikan artikel ini