Bekas Jeneral, Prabowo Subianto mengangkat sumpah hari ini sebagai Presiden Indonesia yang kelapan.
Pemimpin berusia 73 tahun itu mengangkat sumpah di Parlimen sebelum menuju ke Istana Presiden di mana Joko Widodo atau Jokowi akan menyerahkan tampuk pemerintahan selepas sedekad berkuasa.
Majlis itu turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.
Anwar antara 19 pemimpin dan ketua negara asing yang diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.
Prabowo komited dengan dasar luar negara tidak bersekutu Indonesia, tetapi memberi isyarat bahawa beliau akan lebih berani di pentas dunia.
Beliau menjadikan China sebagai negara pertama untuk lawatan rasmi luar negara selepas pemilihannya lapan bulan lalu.
Prabowo kemudian memulakan lawatan ke 12 negara lain termasuk Russia, Arab Saudi dan Australia, di mana beliau menandatangani perjanjian keselamatan penting.
Beliau juga akan mewarisi ekonomi terbesar Asia Tenggara dan rizab nikel terbesar di dunia, menerajui negara berpenduduk 280 juta, yang mana kira-kira separuh daripadanya berumur di bawah 30 tahun.
Prabowo menang besar pada pusingan pertama undian Pilihan Raya Umum Indonesia, pada Februari lalu, dibantu oleh sokongan Gibran Rakabuming Raka sebagai calon naib presiden.
Gibran, 37, adalah anak lelaki penyandang Widodo.
Dalam kempennya, Prabowo berikrar untuk termasuk pelan makanan percuma AS$28 bilion untuk kanak-kanak.
Keselamatan dipertingkatkan di seluruh ibu kota Jakarta menjelang perasmian dengan kira-kira 100,000 anggota polis dan tentera dikerah termasuk skuad rusuhan, unit penembak tepat dan pasukan antidron.
Prabowo akan berarak antara parlimen dan istana selepas ucapan yang diharapkan kepada penggubal undang-undang.
Puluhan ribu orang dijangka berbaris di jalanan ketika beliau menjadi pemimpin kelapan Indonesia sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada penjajah Belanda pada 1945.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan pertamanya sebagai Presiden kelapan Republik Indonesia, Prabowo mengajak rakyatnya agar harus berani menghadapi cabaran, rintangan serta ancaman di tengah dinamik dan pergolakan dunia.
Pemimpin berusia 73 tahun itu menegaskan, republik itu yang memiliki lebih 200 juta penduduk dianugerahkan oleh kekayaan sumber alam yang sangat besar dan ia harus dimanfaatkan untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Saya mengajak semua, mari kita berani melihat kenyataan, kita boleh bangga dengan prestasi kita tetapi jangan terpegun dan cepat puas… jangan cepat gembira dan menutup mata terhadap cabaran serta penderitaan saudara-saudara kita.
“Kita tak boleh memiliki sikap seperti burung unta, yang memasukkan kepalanya dalam tanah. Mari menatap ancaman dengan gagah… mari kita hadapi kesulitan dengan berani.
“Saudara sekalian, mari kita berhimpun dan bersatu mencari penyelesaian dan jalan keluar daripada ancaman bahaya tersebut,” katanya ketika menyampai pidato tersebut di bangunan Nusantara, Kompleks Parlimen di Jakarta pada Sabtu.
Berucap lanjut di hadapan 20 ketua negara asing yang hadir pada majlis angkat sumpah pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Prabowo menambah semua pihak perlu berani untuk membaiki diri dan negara.
Bekas Jeneral itu juga berkata, Indonesia perlu menerima kenyataan bahawa masih banyak penyelewengan dan rasuah berlaku dalam negara dan aktiviti menyalahi undang-undang itu perlu ditentang demi masa depan bangsa.
“Kita harus berani mengakui terlalu banyak kebocoran daripada anggaran kita, penyimpangan kolusi (keterlibatan) antara pejabat politik dan pemerintah, di semua tingkatan… dengan penguasaha yang nakal dan tidak patriotik.
“Jangan takut untuk melihat realiti ini. Kita masih melihat sebahagian saudara kita yang belum menikmati hasil kemerdekaan, dan terlalu banyak saudara kita yang berada di bawah garis kemiskinan,” ujar beliau.
Leave a Reply