Tidak lama selepas kemenangan calon BN di Dun Mahkota Sabtu lalu, Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Musa lantas menyarankan agar dibentuk kerajaan perpaduan di negeri Johor.
Katanya, selepas kemenangan di Mahkota, pembentukan kerajaan perpaduan perlu diwujudkan di negeri itu bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat bagi menghadapi PRU16 akan datang.
Saranan beliau kemudian disanggah oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh yang berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Sama seperti pandangaan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz yang juga menolak idea pembentukan kerajaan perpaduan di negeri itu selepas Azmin Ali melontarkan perkara tersebut ketika kempen PRK Mahkota sebelum ini, Dr Akmal bertegas bahawa tidak harus pentadbiran kerajaan negeri Johor diberi tekanan dalam hal itu.
Ini kerana katanya, pentadbiran kerajaan negeri di bawah Onn Hafiz telah berjalan dengan baik selama ini.
Atas dasar itu, tambah beliau, pentadbiran sedia ada oleh BN secara sendirian di Johor harus dikekalkan sehingga habis penggal.
Dalam hal ini, saya bersetuju sepenuhnya dengan Dr Akmal bahawa tiada keperluan untuk diubah kedudukan kerajaan negeri Johor hanya semata-mata selepas berakhirnya PRK Mahkota.
Lagi pun, yang menang di Mahkota ialah UMNO yang berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.
Hanya kerana BN menang dengan majoriti yang lebih tinggi yang menggambarkan kemenangan itu dibantu oleh undi PH, itu tidak merasionalkan untuk diwujudkan kerajaan perpaduan.
Tanpa sokongan undi PH pun, BN tetap akan menang juga di Mahkota, cuma mungkin majoritinya saja yang tidak mencecah sehingga 20 ribu undi.
Tetapi, menang tetap BN akan menang.
Selain itu, ingatlah juga bahawa BN menang dalam PRN Johor pada Mac 2022 lalu adalah dengan majoriti dia pertiga menewaskan PH dan juga PN.
Hakikatnya, bersendirian dan tanpa PH pun BN Johor tetap mampu menang 40 daripada 56 kerusi Dun di negeri itu.
Dengan itu, kepada PH, khususnya pemimpin muda seperti Amanah, janganlah lebih sudu daripada kuah dalam membuat tuntutan.
Jangan terikut-ikut dengan rentak tari yang dibawa Azmin Ali.
Sabarlah dahulu dan biarkanlah BN mentadbir negeri Johor secara sendirian sehingga habis penggal ini.
Kalau mahu diwujudkan kerajaan perpaduan di Johor, tunggulah selepas PRN negeri akan datang, itu pun jika model kerjasama seperti di pusat mahu diadaptasi ke negeri itu. – ShahbudinHusin 30 September2024.
Leave a Reply