Selepas Anwar Ibrahim mencabar agar usul undi tidak percaya dibentangkan terhadapnya di Parlimen pada sessi Oktober ini, cabaran itu segera disahut oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Saari.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, jika benar usul undi tidak percaya mahu dibenar dibentangkan, Ahli-Ahli Parlimen blok kerajaan hendaklah dibebaskan daripada perjanjian yang sebelum ini mengikat mereka.
Beliau mendakwa, wakil rakyat daripada blok kerajaan ketika usul percaya terhadap Anwar pada Disember 2022 dahulu telah diikat dengan suatu perjanjian.
“Jika benar-benar anak jantan, bebaskan Ahli-Ahli Parlimen daripada semua perjanjian yang mengikat mereka, beri mereka kebebasan mengundi mengikut pilihan sendiri.
“Kita tengok adakah Datuk Seri (Anwar) masih kekal ataupun tersungkur,” katanya di Facebook.
Ini bukan kali pertama Anwar mencabar blok pembangkang membentangkan usul undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.
Beliau pernah membuat cabaran yang sama pada 11 Januari tahun ini dan 6 Mei tahun lalu dan menambah beliau akan memendekkan tempoh notis untuk usul berkenaan.
Dalam hal ini, elok juga sebenarnya jika usul undi tidak percaya dibentangkan kali ini, sesuai dengan cabaran yang Anwar sendiri berkali-kali lalukan.
Lagi pun, yang dibentangkan sebelum ini ialah usul percaya yang dibawa oleh kerajaan, maka biarlah kali ini usul undi tidak percaya oleh pembangkang pula.
Tetapi, jika benar Anwar mahu melihat usul undi tidak percaya terhadapnya dibentangkan di Parlimen, langkah pertama yang harus dilakukannya ialah mengumumkan secara terbuka perjanjian yang didakwa mengikat itu dileraikan serta-merta.
Katakan secara terbuka bahawa mereka boleh mengundi menyokong atau menolaknya jika usul itu dibentangkan nanti.
Langkah kedua, ia harus disusuli dengan ketua-ketua parti juga membuat kenyataan terbuka bahawa Ahli-Ahli Parlimen parti masing-masing bebas mengundi mengikut naluri mereka sendiri.
Maksudnya, tiada paksaan dan tiada apa-apa tindakan akan diambil.
Langkah ketiga, pengundian mesti dijalankan secara rahsia atau undi sulit dan bukan dengan cara angkat tangan.
Selepas semua itu dilakukan secara tertib, barulah blok pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya itu secara rasmi kepada Parlimen.
Agak-agak kalau semua itu digerakkan Tuhan untuk menjadi kenyataan, berani tak Anwar mengarahkan Speaker Parlimen, Johari Abdul agar membenarkan usul undi tidak percaya itu diluluskan untuk dibentangkan? – ShahbudinHusin 21September2024.