Perdana Menteri, Anwar Ibrahim nampaknya semacam koyak dan begitu mudah tersentuh hati dengan gesaan Pemuda Pas yang menuntutnya meletak jawatan.
Sebagai reaksi, beliau bukan saja membalasnya dengan mencabar agar undi tidak percaya segera dilakukan terhadapnya dalam sidang Parlimen akan datang, malah turut menampilkan dirinya dengan ucapan balas yang berapi-api.
Dengan wajah yang marah, Anwar juga memperlekeh Ketua Pemuda Pas sebagai pemimpin yang tidak tahu sejarah, menjadi alat dan perkakas kepada perasuah serta pencuri harta rakyat, sambil dalam waktu yang sama melambung dirinya sendiri sebagai bekas banduan yang terhormat.
Wowwβ¦ada ke status banduan terhormat di dunia ini?
Melihat gayanya berucap sedemikian rupa sambil dengan nada menjerit-jerit di malam memperingati kebangkitan reformasi Jumaat malam yang lalu, kadang-kadang membuatkan kita bertikir – ini ucapan seorang Perdana Menteri atau ucapan Ketua Pembangkang?
Yang jelas di mata penilaian ramai orang ialah Anwar masih seolah-olah masih sukar menanggalkan watak sebagai Ketua Pembangkang daripada dirinya.
Sebagai Ketua Pembangkang, memang tidak salah untuk mereka menjerit kerana kuasa belum ada dalam genggaman, maka menjerit itulah kuasa yang ada.
Lagi pun yang ingin dijerit ialah mereka yang berada di puncak kuasa dan seorang penguasa selalunya lebih suka dengan puji-pujian belaka.
Dengan menggunakan jeritan sebagai kuasa, harap-harapnya suara atau gesaan mereka dapat lebih didengari.
Tetapi, bila sudah menjadi Perdana Menteri, terus menjerit ketika berucap adalah suatu kejanggalan.
Sudah ada kuasa, status diri lebih terhormat, boleh melakukan apa saja dengan kuasa dari hujung langit ke hujung langit, sibuk nak menjerit lagi untuk apa?
Ketika sudah bergelar Perdana Menteri, orang lain yang harus menjerit kepadanya dan bukan dia yang patut menjerit kepada orang lain.
Takut nanti, kerap sangat menjerit dan sukar menanggalkan watak sebagai Ketua Pembangkang, lama-lama rakyat akan bertikir, lebih baiklah dikembalikan semula kepada jawatan lamanya dulu.
Menggesa Perdana Menteri meletak jawatan adalah perkara biasa dalam dunia politik, ia berlaku bukan saja di negara kita, tetapi di seluruh dunia.
Pemimpin atau ketua kerajaan yang dirasakan gagal pasti akan terdedah kepada gesaan meletakkan jawatan.
Anwar sendiri ketika jadi Ketua Pembangkang dahulu kerap kali juga menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Asal ada isu saja, asyik-asyik gesaan yang timbul ialah letak jawatan.
Sehingga bila harga barang naik dan digambarkan Perdana Menteri ketika itu tidak pandai mengurus negara, mereka juga digesa meletakkan jawatan.
Anwar sepatutnya menerima gesaan letak jawatan terhadapnya dengan dada terbuka, bukan dengan rasa marah, wajah bengis dan suara menjerit-jerit.
Relakslah Pak Sheikhβ¦.
Lagi pula, mana ada di dunia ini pembangkang yang pernah membuat gesaan agar Perdana Menteri terus dikekalkan lagi di jawatannya.
Sebagaimana Perdana Menteri tidak mahu pembangkang naik jadi kerajaan, pembangkang juga tidak mahu melihat Perdana Menteri terus kekal di jawatan yang disandangnya.
Kerja pembangkang ialah memastikan Perdana Menteri dapat dipencenkan seawal mungkin dan caranya ialah dengan menggesanya meletak jawatan.
Cuma kalau tak tahan jiwa dengan gesaan letak jawatan dan tak ingin lagi digesa meletak jawatan, jawapannya mudah saja – segeralah letak jawatan. – ShahbudinHusin 22September2024.
Leave a Reply