Satu perkara yang Zahid Hamidi barangkali lupa atau boleh jadi sengaja buat-buat lupa ialah Langkah Sheraton bukanlah untuk menjatuhkan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Langkah Sheraton adalah khusus untuk mengenepikan Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri setelah dua tahun Tun Mahathir memegang jawatan tersebut sebagaimana perjanjian yang telah dipersetujui.
Selain Anwar, para penyokong Presiden PKR itu juga tentunya tidak pernah lupa hakikat tersebut.
Melalui Langkah Sheraton, Tun Mahathir dirancang untuk terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri dengan sokongan baharu daripada UMNO serta Pas dan tidak terikat lagi dengan janji serah kuasa kepada Anwar.
Dengan jajaran baru yang dirancang untuk dibentuk itu, kumpulan PKR yang pro Anwar (kumpulan Azmin Ali sudah bersama Tun Mahathir), DAP dan Amanah akan dikembalikan sebagai pembangkang semula.
Dengan itu, Tun Mahathir dijangka terus kekal menerajui negara sehingga habis penggal.
Tetapi, sebagaimana selalu diperingatkan kepada kita – manusia merancang dan Tuhan juga ada perancangannya, apa yang dirancang melalui Langkah Sheraton itu tidak menjadi kenyataan akhirnya.
Tun Mahathir bukan dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, tetapi jatuh sendiri kerana beliau meletakkan jawatan.
Pelbagai episod yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kenang-kenangan belaka.
Sebab itu, jika Zahid Hamidi menyatakan beliau adalah dalang dalam Langkah Sheraton demi untuk menyelamatkan masa depan UMNO, tujuan Langkah Sheraton itu sendiri diadakan adalah bercanggah dengan pengakuannya itu.
Bagaimana Zahid Hamidi mahu menyelamatkan masa depan UMNO daripada tindakan Tun Mahathir yang didakwa mahu mengharamkan parti itu, sedangkan Langkah Sheraton itu secara khusus mempunyai matlamat utamanya adalah untuk mengekalkan lagi Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri?
Sekali lagi ditekankan, Langkah Sheraton hanyalah untuk menyisihkan Anwar sebagai pengganti kepada Tun Mahathir.
Apakah tidak mungkin UMNO lebih mudah untuk diharamkan kerana jika Tun Mahathir kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas Langkah Sheraton, tiada lagi Anwar yang boleh bersuara menentang usaha pengharaman itu?
Bolehkah Zahid Hamidi jelaskan bagaimana beliau mahu mengelak UMNO daripada diharamkan sebagaimana didakwa ia merupakan kemahuan Tun Mahathir (difahamkan cadangannya ialah UMNO diserapkan ke dalam Bersatu) dalam keadaan beliau ketika itu sudah pun didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram?
Kepada Zahid Hamidi yang tiba-tiba baru sekarang mengaku dirinya adalah dalang Langkah Sheraton – sembang dan temberang apa mahu dijajanya kali ini?
Sedarkah beliau saksi-saksi hidup peristiwa Langkah Sheraton itu sendiri masih hidup lagi ketika ini?
Ke Zahid Hamidi tersasul lagi – dia nak kata dirinya DATANG ke Langkah Shetaron, tapi tersasul menyebut DALANG Langkah Shetaron? – ShahbudinHusin 11Ogos2024.
Leave a Reply