Tidak dinafikan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini (PAU2024) pasti akan lebih meriah berikutan kejayaan gemilang parti itu dalam PRK Nenggiri yang berlangsung semalam.
Ada yang berkata, Dewan Merdeka tahun ini akan lebih bergegar dengan jerit pekik kegembiraan dan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO pula tentunya lebih disanjung sepanjang berlangsungnya PAU2024 antara 21 hingga 24 Ogos ini.
Sebelum ini ramai yang sangsi bagaimana keadaan PAU2024 berikutan UMNO diramalkan sukar memperolehi kemenangan di Nenggiri.
Tetapi, dengan kejayaan gemilang yang diperolehi UMNO semalam, semua orang mengatakan PAU2024 kali sudah tentu berubah kemeriahannya.
Zahid Hamidi sendiri ketika kempen PRK Nenggiri berkata, kemenangan calon UMNO adalah penting agar ia memberi makna kepada PAU2024 yang akan berlangsung empat hari selepas pengundian di PRK itu.
βKekalahan kita dalam PRN (ke-15) di DUN Nenggiri, cuma 810 (majoriti yang diperoleh oleh Mohd Azizi Abu Naim). Datuk Ramli Ramli Mohd Nor (Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat) tahu ramai pengundi Orang Asli tidak keluar, atas sebab tertentu.
βRamai pengundi di kawasan Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) juga tidak keluar mengundi. Selain itu, sembilan pusat daerah mengundi di kampung tradisional dan satu rancangan Felda Perasu ada masalah, tapi kali ini, Alhamdulillah.
βKesedar ada lima PDM bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDWN), sembilan kampung tradisional juga di bawah KKDW, serta satu PDM Felda.
βKebetulan Perdana Menteri bagi tanggungjawab Felda pada saya, ertinya 20 PDM bawah saya.
βTolonglah saya untuk kita tebus maruah kita di Nenggiri ini,β katanya lagi.
Dipercayai juga, lantaran tidak yakin akan beroleh kemenangan itu jugalah yang membuatkan UMNO mengambil keputusan tidak menjemput Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan lain-lain ketua parti dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri PAU2024 kali ini.
βTahun ini kita beri ruang untuk keluarga besar UMNO berbincang secara kekeluargaan saja.
βTahun lepas kita buat jemputan. Insya-Allah mungkin tahun depan atau tahun sebelum PRU akan ada jemputan semula,β kata Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Namun sekarang, UMNO bukan setakat menang di Nenggiri, bahkan menang dengan begitu cemerlang.
Untuk itu, adalah dicadangkan agar UMNO segera membuat U-Turn dengan segera menghantar jemputan kepada Anwar dan lain-lain ketua parti dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri PAU2024.
Rasanya tidak cukup meriah PAU tahun ini di mana di ketika UMNO dan Zahid Hamidi mahu meraikan kejayaan gemilang mereka di Nenggiri, tetapi tiada Perdana Menteri di dalam Dewan Merdeka.
Kalau ada Perdana Menteri dan lain-lain ketua parti di Dewan Merdeka ketika Presiden UMNO, Zahid Hamidi menyampaikan ucapannya, ia tentulah lebih bermakna lagi.
Belum terlambat sebenarnya untuk UMNO menghantar surat jemputan kepada Anwar dan semua ketua-ketua parti berkaitan.
Anwar sendiri tentunya tidak mahu melepaskan peluang menghadiri PAU tahun ini sebagaimana dihadirinya kali pertama pada tahun lepas kerana puji-pujian kepadanya pasti ada sama, selain puji-pujian dan sanjungan kepada Zahid Hamidi tidak dapat dielakkan dipercayai akan berlebih-lebihan atas kejayaan gemilang di Nenggiri. – ShahbudinHusin 18Ogos2024.
Leave a Reply