Dalam kecoh-kecoh orangramai terus bercakap tentang Akta Anti Lompat Parti yang ditanggapi sudah tidak berfungsi berikutan keputusan Speaker, Johari Abdul enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen yang keahlian wakil rakyatnya telah terhenti daripada Bersatu, tiba-tiba Adun Rembia, Melaka, Muhammad Jailani Khamis diisytiharkan menyertai Pas.
Muhammad Jailani yang digantung keahliannya daripada UMNO disebut telah menyertai Pas sejak 10 Jun 2023.
Wowww…telah menyertai Pas sejak 10 Jun 2023, tapi hanya diumumkan pada 16 Julai 2024.
Hebat juga Pas main politik untuk menyindir kerajaan madani.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Takiyudin Hasan, penyertaan Muhammad Jailani tidak dianggap melompat parti kerana beliau menyertai Pas sebelum pindaan perlembagaan negeri berkaitan lompat parti diluluskan di Dun Melaka pada 31 Julai 2023.
Muhammad Jailani digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 28 Ogos 2023 kerana hadir di majlis pengumuman calon PRK Simpang Jeram, di Johor.
Tidak dapat dinafikan Muhammad Jailani menyetlrtai Pas ini adalah suatu tindak balas politik susulan keputusan Johari berkaitan enam kerusi Parlimen yang dipertikaikan itu.
Tidak pasti sama ada memang benar Muhammad Jailani telah menyertai Pas sejak 10 Jun 2023 atau tarikh kemasukannya ke dalam Pas dikebelakangkan , tetapi jika Johari membuat keputusan sebaliknya berkaitan enam kerusi Parlimen tersebut, mungkin penyertaan Muhammad Jailani sebagaimana diumumkan semalam tidak berbangkit sama sekali.
Walaupun Pas dilihat sedikit tidak bermoral kerana menerima Adun yang melompat parti dan sama-sama merestui amalam tersebut, semua ini adalah “balas dendam” terbuka daripada PN kepada PH/BN dan kerajaan madani atas keputusan Speaker yang dipertahankan Perdana Menteri sebelum ini.
PN sedar langkah menerima Muhamad Jailani itu tidak mampu menggugat kerajaan negeri Melaka, malah mungkin tiada PRK akan diadakan, namun mereka nampaknya mahu membuatkan Speaker lantikan PH/BN di negeri itu serba salah dalam mendepaninya.
Selain itu, PN ingin menghantar isyarat kepada Anwar Ibrahim bahawa kebarangkalian lebih ramai Adun atau Ahli Parlimen akan turut melompat selepas ini tidak boleh ditolak begitu saja.
Melompat parti dengan tarikhnya dikebelakangkan atau sekadar beralih sokongan sebagaimana tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu, nampaknya hanya menunggu masa untuk bermula pesta yang lebih besar.
Pesta lompat parti bermula dengan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan dan tidak mengikut kehendak parti, tetapi perbuatan mereka dianggap tidak melanggar perlembagaan, meskipun ketetapan mengenainya sudah begitu jelas.
Ia kemudian menyusul di Melaka semalam.
Jika ia berlaku satu demi satu selepas ini, tidak lain ia berlaku adalah kerana salah Speaker Parlimen.
Yaa beda beduu….meriah politik Malaysia selepas ini dan tahniah kepada Johari, selepas memberi idea cemerlang meminta rakyat makan ubi kayu sebagai ganti nasi, beliau mungkin mencipta satu lagi keadaan yang akan dikenang zaman berzaman lantaran memeriahkan lagi pesta lompat parti di negara ini. – ShahbudinHusin 17July2024.
Leave a Reply