Sejumlah pentaksub kerajaan madani, sebahagian mereka itu hanya muncul setelah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, ada berhujah bahawa tidak perlu sesiapa bising-bising lagi berkenaan keputusan Speaker kerana dikatakan ruang mahkamah masih terbuka untuk mencari keadilan.
Kata mereka, oleh kerana Speaker telah membuat keputusan tiada kekosongan bagi enam kerusi Bersatu yang dipertikaikan itu, maka ia hendaklah diterima dengan seadanya.
Kalau tak setuju, bawalah ke mahkamah?
Bising-bising di media sosial buat apa?
Kenapa sampai sekarang, Bersatu belum memfailkan lagi kes ke mahkamah?
Ini adalah di antara beberapa pertanyaan popular yang boleh kita dengar di mana-mana.
Pertama, ingin dijelaskan bahawa bukan kerja Speaker untuk mentafsir perlembagaan dan Speaker sepatutnya bersikap “non-partisan” dalam menjalankan tugasnya.
Apabila Speaker menerima pemakluman daripada Bersatu berkenaan gugur atau terhentinya keahlian enam Ahli Parlimen terbabit dan mereka hilang kelayakannya sebagai wakil rakyat sebagaimana termaktub dalam Akta Anti Lompat parti, kerja beliau ialah mengisytiharkan kekosongannya.

Selepas kekosongan diisytiharkan, seterusnya SPR perlu bermesyuarat untuk menentukan tarikh PRK atau pilihan raya kecil diadakan.
Hanya jika enam Ahli Parlimen itu tidak puas hati, barulah mereka perlu membawa kes ke mahkamah.
Bukan kerja parti membawa kes ke mahkamah kerana parti telah melaksanakan tanggunjawabnya memaklumkan terhentinya keahlian mereka yang berkenaan kepada Speaker.
Yang patut membawa kes ke mahkamah adalah “kumpulan enam jahanam” Ahli Parlimen berkenaan.
Disebabkan mereka yang khianat dan tidak patuh kepada arahan serta disiplin parti, jika mereka berasa tak berpuas hati, merekalah yang perlu mencari keadilan di mahkamah.
Apa pula parti disuruh mencari keadilan di mahkamah?
Yang kedua, Speaker bukan saja telah membuat keputusan yang salah, malah jelas membuat suatu keputusan yang bersifat politik.
Berkaitan keputusan politik dan bukan ikut undang-undang oleh Speaker ini telah pun dihujahkan dalam artikel sebelum ini.
Disebabkan Speaker telah membuat keputusan bersifat politik, maka ia perlu dilawan dengan cara politik juga.
Speaker dan kerajaan madani, khususnya Perdana Menteri yang beria-ia mempertahankan keputusan salah oleh Speaker, harus ditekan dan didedahkan kecurangan mereka dengan seluas-luasnya.
Tujuannya ialah agar rakyat sedar dan tidak lagi memberi sokongan kepada kerajaan yang didapati khianat dalam menjalankan tugasnya.
Meskipun PRU16 masih lambat lagi untuk membolehkan menukar kerajaan, tetapi jika rakyat menunjukkan penolakan yang konsisten daripada sekarang, tidak mustahil kerajaan akan tumbang di tengah jalan.
Yang mustahak, dengan keputusan Speaker yang salah dan bersifat politik itu, PH harus ditunjukkan jalan pulang lebih awal untuk kembali semula menjadi pembangkang. – ShahbudinHusin 12Julai2024.
Leave a Reply