Apa tujuan Akta Anti Lompat Parti diperkenalkan?
Tidak lain tujuan ia diperkenalkan ialah untuk menghalang Ahli Parlimen atau Adun melompat ke parti lawan demi menghormati mandat rakyat yang memilih mereka.
Lagi pula, kalau Ahli Parlimen dan Adun bebas melompat ke sana sini seperti monyet melompat daripada satu pokok ke satu pokok, politik akan sentiasa riuh-rendah dengan kekacauan dan ketidaktentuan.
Monyet-monyet politik akan terus merebut peluang melompat ke sana sini untuk mencari untung melalui kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.
Daripada segi matlamat, mahu pun semangat, tidak dinafikan memang ternampak suci tujuan Akta Anti Lompat Parti jtu diperkenalkan.
PH yang memperjuangkan dan menjadikan Akta Anti Lompat Parti sebagai kenyataan tentulah lebih ternampak lagi suci jiwa perjuangan mereka di mata rakyat.
Oleh kerana pernah dikhianati melalui Langkah Shetaron dan merasa betapa pedihnya luka dikhianati, melalui wujudnya akta itu, gambarannya ialah PH tidak mahu lagi melihat berlakunya episod pengkhianatan dan menjual perjuangan berlaku di negara ini.
Dengan itu, walaupun ada kelompangan, apabila PH sekarang ini sudah berjaya menjadi kerajaan, mereka sepatutnya tetap tegas dalam melaksanakan Akta Anti Lompat Parti itu tanpa kompromi.
Tambahan lagi, kelompangan itu sebenarnya sudah pun ditutup dengan pindaan dalam perlembagaan parti berkaitan.
Selain Bersatu, parti UMNO, Amanah dan DAP juga turut meminda perlembagaannya untuk menutup kelompangan yang ada itu..
Ertinya, kalau pun Akta Anti Lompat Parti masih ada kelemahannya, daripada segi semangat dalam jiwa PH yang sudah menjadi kerajaan, tidak patut sama sekali keinginan untuk melaksanakannya berkurangan walau sedikit pun, terutama dalam jiwa Perdana Menteri dambaan rakyat, Anwar Ibrahim.
Tetapi, apabila Anwar sendiri menjadikan isu kelompangan tersebut sebagai alasan mengapa Speaker membuat keputusan tiada kekosongan bagi enam kerusi Parlimen yang wakil rakyatnya beralih sokongan, sambil meletakkan kesalahan itu kepada Bersatu lantaran sebelum ini menolak pindaan, ia dengan sendirinya menjadikan semangat atau roh diwujudkan Akta Anti Lompat Parti telah dibunuh dengan sengaja.
Ia dibunuh oleh tikaman pisau secara sengaja dan dalam keadaan sedar oleh Anwar dan juga PH.
Tidak cukup dengan itu, segala macam pencacai dan pentaksub pula tanpa segan silu menyokong hujahan Anwar itu.
Dulu mereka benci pengkhianatan melalui Langkah Sheraton dan menyokong diwujudkan Akta Anti Lompat Parti, tetapi sekarang apabila akta itu tidak dikuatkuasakan atas alasan ada kelemahan teknikal, mereka yang sama juga turut menyokongnya.
Inilah yang sebenarnya amat mengecewakan rakyat dan menjadikan Akta Anti Lompat Parti sudah jadi tidak bermakna.
Anwar sepatutnya mengecam keputusan Johari yang enggan menguatkuasakan Akta Anti Lompat Parti jika jiwanya masih sama dan tidak berubah berbanding dahulu.
Bersetuju, malah mempertahankan keputusan Johari hanya menunjukkan Anwar dilihat bersekongkol atau dipercayai telah mengadakan libat urus terlebih dahulu sebelum keputusan itu dibuat.
Kalau selepas ini dilakukan pindaan sekali pun bagi menjadikan akta tersebut benar-benar ketat, sejarah telah mencatitkan bahawa Anwar dan PH ada rekod memanipulasi Akta Anti Lompat Parti atas nama kelompangan.
Tiada masalah pun sebenarnya jika Speaker mahu mengosongkan enam kerusi berkenaan kerana meskipun ada kelompangan, sebagaimana disebut sebelum ini, ia sudah pun ditutup dengan pindaan perlembagaan dalam Bersatu.
Kenapa Speaker enggan menguatkuasakannya?
Tidak lain sebabnya ialah kerana tindakan enam Ahli Parlimen berkenaan menguntungkan Anwar dan kerajaan madani.
Di sinilah hipokrit dan munafiknya mereka yang dahulu berlagak suci membenci monyet-monyet melompat parti.
Rupa-rupanya kalau membawa keuntungan, pengkhianat pun sanggup dijadikan teman dan dianggap suci serta halal oleh puak-puak munafik ini.
Lagi banyak mereka bercakap tentang kelompangan dan menekankan perlunya pindaan dilakukan untuk mengetatkan lagi Akta Anti Lompat Parti, sebenarnya yang terserlah dan tersembul ialah kemunafikan mereka dalam perjuangan. ShahbudinHusin 13Julai2024.
Leave a Reply