Sebelum ini kita sering dinyanyikan dengan lagu syahdu bahawa kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 sen melalui langkah penyasaran subsidi tidak akan menyebabkan kenaikan kos dan juga harga barang-barang.
Ini kerana ia dikatakan kerajaan telah menampungnya dengan penyediaan ‘fleet card’ untuk sebahagian besar perkhidmatan serta pemberian subsidi tunai RM200 sebulan bagi pemilik kenderaan diesel.
Diulang-ulang bahawa kenaikan diesel adalah untuk membanteras penyeludupan bahan bakar itu daripada terus berleluasa.
Dengan peredaran masa, malah baru sebulan berlalu, kerajaan sendiri akhirnya mengakui kenaikan kos dan harga barang yang sebelum ini mereka nafikan telah pun berlaku.
Ia terbukti semalam apabila Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk mengurangkan beban peneroka Felda susulan kenaikan harga diesel.
Secara khusus disebut dana tersebut adalah untuk menampung kenaikan kos operasi ladang.
Apa maknanya?
Bermakna sejak harga diesel dinaikkan, kos operasi ladang juga turut sama meningkat.
Maka sebab itulah peneroka Felda diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.
Namun demikian, bagaimana dengan pemilik ladang yang lain sama ada pemilik ladang syarikat swasta, kecil-kecilan dan persendirian?
Siapa mahu menolong kenaikan kos yang mereka tanggung?
Sehari sebelum itu pula, Menteri Kewangan Kedua, Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan kini tidak menafikan berlaku kenaikan harga bahan binaan susulan penyasaran subsidi diesel sejak 9 Jun lalu yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kontraktor, terutamanya kumpulan kontraktor G1.
Dengan itu, kata beliau, kerajaan secara dasarnya bersetuju melaksanakan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi membantu kontraktor G1 yang terkesan.
“Kita faham disebabkan penyasaran subsidi diesel, mungkin ada sedikit kenaikan (harga) yang dirasakan kontraktor-kontraktor ini untuk kos sedia ada.
“Jadi, untuk kontrak kerajaan, Kementerian Kewangan (MoF) tengah berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan CIDB di mana kita akan memperhalusi penyelarasan VOP untuk diberi kepada kontrak-kontrak sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tranformasi G1 Pahang di Kuantan.
Ini adalah bukti kedua yang diakui kerajaan sendiri bahawa berita kenaikan harga barang bukanlah berita palsu.
Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan Kedua sudah pun tampil membuktikan kepada rakyat telah berlaku kenaikan kos dan kenaikan harga barang ketika ini.
Persoalannya, kalau kontraktor G1 atau Kelas F pun terkesan dengan kenaikan kos berikutan penyasaran subsidi, bagaimana dengan kontraktor gred yang lebih tinggi?
Tidakkah kenaikan kos yang terpaksa ditanggung oleh kontraktor gred lebih tinggi akan menjadi lebih besar lagi?
Adakah mereka juga dibantu seperti kontraktor G1?
Lalu, siapa yang akan menanggung semua kenaikan kos itu akhirnya kalau bukan pengguna?
Percayalah, daripada semasa ke semasa, lebih banyak lagi pengakuan daripada kerajaan sendiri akan muncul, baik secara langsung atau tidak langsung tentang kenaikan kos kehidupan oleh rakyat bawahan.
Jadi, selama ini yang kata tiada kenaikan itu sembang apa?
Sebab itulah sebenarnya PRK enam kawasan Parlimen takut untuk diadakan. – ShahbudinHusin 15Julai2024.
Leave a Reply