Sejumlah Ahli Parlimen blok pembangkang dilaporkan hadir ke Parlimen hari ini dengan memakai lilitan kain putih di lengan kiri mereka.
Ia adalah sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Parlimen, Johari Abdul yang enggan mengosongkan enam kerusi Parlimen yang wakil rakyatnya telah terhenti keahliannya daripada Bersatu.
βReben putih di lengan kiri, sebagai protes berlakunya ‘reformati’…. spesifik merujuk kepada 49A,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.
Meskipun melakukan apa juga bentuk protes terhadap keputusan Speaker yang salah itu adalah dialu-alukan, tetapi adalah dirasakan tidak memadai dengan sekadar memakai lilitan putih di lengan saja.
Ahli Parlimen blok pembangkang sepatutnya memboikot terus semua sidang Parlimen yang dipengerusikan oleh Johari.
Mereka hanya perlu masuk menghadiri persidangan jika ia dipengerusikan Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor atau Alice Lau.
Kalau ketika mereka berada di dalam dewan dan didapati Johari tiba-tiba masuk untuk mengambil alih tugas, mereka juga perlu keluar sebagai tanda protes.
Jangan sesekali berada di dalam dewan kalau ia dipengerusikan oleh Johari.
Sebagai tanda protes yang serius, sesuai dengan kesalahan Johari juga serius kerana enggan mematuhi Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, pemulaulan sebaiknya mesti dilakukan sehingga PRU16 akan datang.
Kalau dilihat pada jawapan Johari enggan mengosongkan enam kerusi yang dipertikaikan itu, ia benar-benar bersifat politik dengan mentafsirkan Perkara 49A itu untuk kestabilan politik negara dalam jangka panjang.
Kestabilan politik yang dimaksudkan itu tidak lain adalah untuk melindungi kedudukan Perdana Menteri dengan menafikan peruntukan yang sudah terang lagi jelas dalam Perlembagaan.
Hujah lain Johari ialah dengan mengatakan enam Ahli Parlimen berkenaan masih duduk dalam blok pembangkang, justeru katanya, tidak perlu mengembalikan kerusi itu kepada pembangkang untuk diadakan PRK.
Dengan itu, sudah tidak munasabah lagi untuk Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang berada di dalam dewan yang dipengerusikan oleh Johari.
Melalui pemboikotan selama-lamanya itu, biar dunia menjadi saksi buruknya kerajaan madani dan Anwar Ibrahim sendiri akhirnya diharap sedar Johari adalah beban kepada kerajaan yang sedang dipimpinnya
Alang-alang mandi biar basah, alang-alang protes biar sampai Anwar lelah. – ShahbudinHusin 15Julai2024.
Leave a Reply