Pelaburan asing di Malaysia merekodkan aliran masuk bersih RM40.4 bilion pada 2023, sementara pelaburan di luar negeri (DIA) mencatatkan RM40.6 bilion, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Mohd Uzir Mahidin, berkata aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada 2023 menyusut daripada RM75.4 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya dalam ekuiti dan dana pelaburan saham, mencerminkan ekonomi global yang perlahan.
Beliau berkata, ini selaras dengan laporan Pemantauan Trend Pelaburan Global UNCTAD 2024 yang menekankan bahawa aliran FDI ke negara-negara membangun menurun lebih kurang sembilan peratus, berjumlah AS$841 bilion pada 2023.
Khususnya, rantau Asia yang sedang membangun menurun sekitar 12 peratus kepada AS$584 bilion, dengan FDI ASEAN menurun kira-kira 16 peratus.
“Walau bagaimanapun, nilai kumulatif FDI meningkat kepada RM926 bilion pada akhir tahun 2023, menyumbang 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), terutamanya disebabkan oleh kategori-kategori bukan transaksi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata DIA mencatatkan penurunan dalam aliran keluar bersih daripada RM62.8 bilion pada tahun sebelumnya, manakala kedudukan DIA meningkat kepada RM664.4 bilion, mewakili 36.4 peratus daripada KDNK.
Melihat kepada taburan sektor, perkhidmatan muncul sebagai penerima utama FDI, dengan aliran masuk bersih RM35.4 bilion, memintas sektor pembuatan.
Dalam sektor perkhidmatan, informasi & komunikasi menyumbang peratusan tertinggi selaras dengan pertumbuhan aktiviti berkaitan perniagaan digital global dan pusat data, diikuti oleh subsektor kewangan & insurans/ takaful.
Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada keseluruhan pendapatan meskipun aliran masuk bersih lebih rendah, dengan menjana RM41.9 bilion, terutamanya disokong oleh subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan subsektor pembuatan lain.
Secara kumulatif, kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan memegang nilai signifikan dalam komponen kedudukan masing-masing pada RM468.2 bilion dan RM391.3 bilion.
Dari segi geografi, rantau Asia kekal sebagai sumber utama FDI, menyumbang RM54.3 bilion pada 2023 dengan nilai kedudukan RM508.4 bilion.
Pelabur-pelabur utama dari rantau ini adalah termasuk Singapura, Hong Kong dan Jepun.
Rantau Amerika, terutamanya Amerika Syarikat (AS), menjana pendapatan tertinggi dari FDI, dengan jumlah RM41.4 bilion.
Mengenai pelaburan langsung Malaysia di luar negeri, Mohd Uzir berkata aliran keluar bersih DIA terutamanya disumbangkan oleh sektor perkhidmatan bernilai RM34.5 bilion, khususnya dalam aktiviti kewangan & insurans/takaful dan utiliti.
“Sektor ini turut menjana pendapatan tertinggi RM23.9 bilion, diikuti oleh perlombongan & pengkuarian sebanyak RM10.7 bilion.
“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama DIA bagi 2023 dengan mencatatkan kedudukan terkumpul pada RM461.1 bilion, diikuti oleh perlombongan & pengkuarian sebanyak RM80.5 bilion dan pembuatan sebanyak RM60 bilion,” katanya.
Asia kekal sebagai destinasi utama aliran DIA bagi tahun 2023 dengan nilai sebanyak RM29.9 bilion, terutamanya ke Singapura dan Indonesia.
Pendapatan tertinggi turut dijana oleh Asia iaitu berjumlah RM24 bilion terutamanya dari Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Justeru, kedudukan DIA bagi rantau Asia berjumlah RM365.1 bilion pada akhir tahun 2023, penyumbang tertinggi berbanding rantau lain.
Amerika merupakan penyumbang kedua terbesar bagi aliran keluar dan pendapatan DIA, kedua-duanya sebanyak RM7.5 bilion dengan jumlah kedudukan RM156.2 bilion.
Sumber – https://www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2024/06/1263581/malaysia-rekod-aliran-masuk-bersih-rm404-bilion-pelaburan-asing
Leave a Reply