Kalau kita perhati dan teliti, mereka yang menolak, malah mengecam pemilikan Blackrock melalui GIP dalam MAHB ini rata-ratanya adalah orang Melayu.
Di mana-mana, orang Melayu dalam pelbagai peringkat usia dan kriteria kehidupan, boleh didengar serta dilihat kritikan mereka terhadap cadangan tersebut.
Soalan mudah mereka ialah, kenapa kerajaan dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu meletakkan Blackrock dalam MAHB?
Yang lain pula menyifatkan penjualan saham MAHB, sebuah syarikat kerajaan kepada Blackrock itu terang-terang tidak selaras dengan sokongan Malaysia kepada Palestin.
Malah ketika saya pulang ke kampung minggu lalu, ramai juga bertanyakan soalan yang serupa.
Tidak saja kaum bapa yang bertanyakan kenapa penjualan itu dilakukan, golongan ibu serta makcik-makcik juga tidak ketinggalan ingin tahu mengenainya.
Ertinya, mereka masih ragu-ragu tentang kewajaran kerajaan menjual saham MAHB kepada GIP yang dimiliki Blackrock yang terkait dengan Israel itu.
Dengan rata-rata orang Melayu tidak senang dengan langkah kerajaan itu, terutama apabila mendapati MAHB selepas ini akan ditukar menjadi sebuah syarikat swasta berbanding kedudukannya sebagai syarikat senaraian awam sebelum ini, realitinya ia merupakan petanda yang tidak baik kepada masa depan kerajaan madani.
Berikutan kerajaan madani ini, meskipun melibatkan campuran PH dan BN, tidak mendapat sokongan yang kukuh daripada pengundi Melayu pada PRU15 lalu, isu Blackrock ini tidak mustahil meletakkan kedua-dua gabungan dalam keadaan lebih sukar menghadapi PRU akan datang.
Yang lebih malang dalam hal ini tentunya ialah UMNO kerana merekalah yang akan bertanding di kawasan-kawasan Melayu berbanding PKR dan Amanah yang hanya bertanding di kerusi campuran.
Sepertinya UMNOlah yang bakal menanggung beban sebenar dalam isu Blackrock ini.
Sebab itu, kerajaan tidak boleh melihat isu Blackrock ini sebagai isu yang dimainkan pembangkang semata-mata.
Ia lebih besar daripada itu dan kerajaan harus mendapat maklumat lebih menyeluruh tentang kesannya di peringkat bawah, khususnya kepada orang-orang Melayu.
Maklumat itu mungkin boleh diperolehi melalui UMNO, tapi adalah lebih baik jika kerajaan madani sendiri melakukan tinjauan bebas di lapangan.
Kemudian timbanglah sama ada berbaloi meneruskan penjualan saham MAHB kepada Blackrock itu atau sebaliknya.
Tetapi jika kerajaan tetap bertegas mahu meneruskan juga penjualan itu kerana berasakan βini kerajaan kami, ikut suka kamilahβ, di samping perlu bersedia menghadapi risiko penolakan yang lebih teruk daripada rakyat, khususnya orang Melayu, jentera penerangan serta komunikasi kerajaan haruslah turut diperkukuhkan lagi.
Kalau dilihat bagaimana jentera penerangan dan komunikasi kerajaan sekarang berperanan, bukan saja dalam menghadapi isu Blackrock, bahkan juga isu-isu lain sebelumnya, senang cerita – sendiri mau ingatlah! – ShahbudinHusin 28Jun2024.
Leave a Reply