Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

HUKUM UNDANG-UNDANG DAN HUKUM POLITIK

Berikutan tidak memberi jawapan mengikut kehendak soalan, Bersatu memutuskan untuk menghantar notis kekosongan kerusi yang kini disandang enam Ahli Parlimen parti itu yang beralih arah menyokong kerajaan perpaduan kepada Speaker Parlimen, Johari Abdul.

Notis dijangka dihantar sebelum bermulanya sidang Parlimen pada 24 Jun depan.

Notis berkenaan adalah sebagai pemakluman bahawa enam kerusi tersebut adalah kosong selepas keahlian mereka dianggap terhenti secara automatik kerana tidak akur dengan ketetapan parti untuk tidak menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Tetapi, keputusan akhir adalah di tangan Speaker untuk memutuskan sama ada enam kawasan berkenaan benar-benar kosong atau sebaliknya.

Berdasarkan pindaan perlembagaan Bersatu yang telah diluluskan RoS atau Jabatan Pendaftar Pertubuhan baru-baru ini, bersekali dengan akta anti lompat parti yabg sedang berkuatkuasa, seseorang yang tidak akur dengan keputusan parti akan membawa kepada keahliannya terhenti, seterusnya kerusi Parlimen yang disandang perlu dikosongkan.

Peruntukan perlembagaan seperti itu bukan saja ada dalam Bersatu, tetapi terdapat juga dalam UMNO dan DAP.

Dengan yang demikian, jika mengikut hukum undang-undang, enam kerusi berkenaan memang wajib dikosongkan dan perlu diadakan pilihan raya kecil semula bagi mewujudkan iklim politik yang bersih dan harmoni dalam sebuah negara berjenama madani.

Maka itu, Speaker seharusnya tidak ada pilihan lain bila mendapat notis daripada Bersatu melainkan mengisytiharkan enam kawasan tersebut telah berlaku kekosongan yang nyata.

Namun, sebagaimana biasa berlaku dalam sistem negara berasaskan demokrasi, walaupun banyak akta dan undang-undang dicipta, keputusan politik selalunya akan mengatasi keputusan undang-undang jika kepentingan politik dilihat lebih perlu diberi keutamaan.

Dalam hal berkaitan, meski Speaker Parlimen seharusnya bersikap berkecuali, adil dan bebas serta benar-benar berasaskan undang-undang dalam membuat keputusan, hendaklah disedari perlantikan Speaker itu sendiri dibuat oleh Perdana Menteri dan parti yang mengetuai kerajaan.

Dengan demikian, tidak dapat tidak, Speaker biasanya akan membuat keputusan yang memihak atau melindungi kedudukan kerajaan.

Dalam bahasa mudah, kalau kerajaan bertukar, Speaker pun turut hilang jawatan.

Sebab itu dalam kes enam Parlimen Bersatu itu, di sebalik harapan semua orang yang waras ialah kekosongan perlu diumumkan tanpa was-was untuk diadakan pilihan raya kecil semula, keputusan Speaker tidak mesti sebegitu adanya.

Speaker mungkin membuat keputusan yang berlainan daripada apa yang kita semua harapkan.

Kalau mengikut undang-undang, disertai pula jika Perdana Menteri sedia untuk berdepan pilihan raya kecil semula – senang cerita – tidaklah sukar untuk Speaker membuat keputusannya.

Jika sebaliknya, tunggu sajalah nanti, macam-macam alasan akan kita dengar mengenainya.

Cuma jangan lupa, jika notis pemakluman Bersatu mengenai kekosongan kerusi itu ditolak Speaker, ia bermakna tidak menjadi kesalahan juga buat Ahli Parlimen UMNO dan DAP ( jika ada) untuk mereka mengumumkan tidak lagi menyokong Anwar dan kerajaan perpaduan, meski kedua-dua parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

Apa bezanya Ahli Parlimen Bersatu yang berada dalam blok pembangkang, tapi memberi sokongan kepada Anwar dan kerajaan perpaduan dengan Ahli Parlimen UMNO atau DAP yang berada dalam kerajaan, namun tidak menyokong Perdana Menteri? – ShahbudinHusin 07Jun2024.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x