Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sedia mendedahkan butiran penuh pelantikan Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd untuk perkhidmatan pengangkutan awam perbatuan pertama dan terakhir di negeri itu.
Persoalan timbul mengenai kemungkinan layanan keutamaan dan konflik kepentingan susulan pendedahan Asia Mobiliti antara dua syarikat diberikan projek rintis “Demand-Responsive Transit” (DRT) tanpa melalui tender terbuka.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, M Ramachandran berkahwin dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Semalam, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan Selangor mendedahkan butiran lengkap pelantikan Asia Mobiliti, dan Amirudin hari ini bersetuju dengan gesaan itu.
“Kami sanggup (lakukannya),” katanya dalam sidang media hari ini ketika ditanya berhubung gesaan C4.
“Kami tiada masalah berbuat demikian kerana kami ada kebebasan maklumat.”
Amirudin berkata, kerajaan negeri terbuka untuk menyediakan minit mesyuarat membabitkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han sebelum ini mempertahankan pemilihan kedua-dua syarikat itu dengan berkata mereka diluluskan Apad dan pengawal selia persekutuan.
Katanya, dua syarikat itu hanya sebahagian daripada proses pembuktian konsep (POC) “bus-on-demand” selama sembilan bulan. POC ialah kajian kebolehlaksanaan untuk membuktikan sesuatu idea itu boleh dilaksanakan.
Amirudin berkata, Asia Mobiliti dan BadanBas Coach Sdn Bhd dipilih untuk POC, yang berakhir pada Julai, kerana mereka diluluskan APAD.
“APAD kata hanya dua syarikat diberikan kebenaran untuk POC, jadi kerajaan negeri mempelawa kedua-duanya.
“Walaupun kami akan mengadakan tender terbuka, hanya dua syarikat ketika itumempunyai kebenaran untuk melakukan POC…jadi persoalan sama ada patut ada tender terbuka atau tidak adalah tidak sah.
“Kami dinasihatkan APAD hanya ada dua syarikat, jadi mereka mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri.”
Menurutnya, syarikat e-panggilan lain tidak dipelawa melaksanakan POC kerana tidak mendapat kelulusan APAD.
Beliau berkata, pengendali pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Bhd dan sebuah lagi syarikat, Kumpool Sdn Bhd, akan dipelawa mengemukakan cadangan POC mereka selepas mendapat lampu hijau APAD.