Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KERAJAAN MADANI TAK USAH TAKUT PRK TUJUH KAWASAN

Bersatu dilaporkan telah menghantar surat tuntutan kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adun parti itu yang sebelum ini berpaling tadah untuk mereka menyatakan pendirian politik masing-masing.

Mereka diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tersebut.

Di bawah akta anti lompat parti, bersekali dengan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan baru-baru ini, kesemua tujuh wakil rakyat berkenaan dikira boleh terhenti keahliannya dan perlu mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.

Satu-satunya cara yang boleh menyelamatkan kedudukan mereka ialah dengan kembali setia dan patuh kepada arah tuju Bersatu.

Sehingga ini, dua daripada Ahli Parlimen berkenaan mengaku telah menerima surat tersebut.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman mengumumkan tidak berganjak daripada sokongan yang diberikannya kepada Anwar Ibrahim sebelum ini.

Katanya, beliau menolak surat tuntutan itu dan akan kekal menyokong Anwar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Abdul Fasal pula menyifatkan surat yang diterimanya itu sebagai tidak bermakna.

Menurutnya, beliau tidak akan menjawab surat tersebut dan sedia berhadapan dengan apa juga kemungkinan.

“Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku PRK pun saya akan turun bertanding.

“Apa yang saya buat adalah mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu Ahli Parlimen menjalankan tugas,” katanya lagi.

Lain-lain wakil rakyat belum kedengaran lagi respon menerima berkenaan surat tuntutan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin itu.

Apa yang nyata, berdasarkan akta lompat parti, pindaan perlembagaan Bersatu serta jika semua pihak berpegang kepada prinsip, mengadakan PRK adalah pilihan yang sebaik-baiknya dalam mendepani kemelut tujuh wakil rakyat ini.

Ini kerana perbuatan mereka berpaling tadah daripada segi sokongan dan berbeza dengan pendirian parti adalah sesuatu yang mencemarkan kemurnian politik era kerajaan madani.

Lagi pun, tindakan mereka beralih sokongan hanyalah semata-mata kerana memerlukan peruntukan dan dalam bahasa kasar, mereka ini bacul jiwa perjuangannya.

Sepatutnya mereka sedar siapa yang memenangkan mereka sebagai Ahli Parlimen atau Adun dan jika tidak sanggup lagi memikul beban tanggungjawab, yang terpuji ialah meletakkan jawatan supaya wakil rakyat baru dapat dipilih semula.

Ini tidak, gelaran Yang Berhormat mahu, gaji dan elaun sebagai wakil rakyat juga mahu, tetapi tidak sanggup berdepan gelombang ujian.

Kenapa wakil-wakil rakyat pembangkang lain boleh bertahan dengan kesetiaan bersama parti masing-masing tanpa menjual sokongan untuk beroleh peruntukan?

Kepada kerajaan madani, tak usahlah terlalu mempertahankan tujuh wakil rakyat ini kerana kesetiaan mereka bukanlah kesetiaan yang sejati.

Keberadaan mereka menyokong kerajaan madani tanpa keluar parti malah lebih meletakkan kedudukan Anwar sedikit tercemar di mata umum.

Biarkan saja ada PRK dan siapa yang menang atau kalah kemudiannya, terserahlah kepada pilihan pengundi membuat penentuan.

Kalau pun calon kerajaan madani ditadkirkan kalah di ketujuh-tujuh kawasan itu nanti, ia tidak pun merugikan apa-apa kerana kawasan itu memang milik PN.

Ia hanya mengembalikan kedudukan kepada status quo tapi kedudukan kerajaan madani tidak lagi dicemari dengan kehadiran sokongan yang meragukan.

Tetapi ingat, jika calon mewakili kerajaan madani dapat menang di salah satu daripada tujuh kawasan itu, ia sudah tentu suatu petanda baik bagi kerjasama PH/BN menuju PRU16 akan datang.

Sebab itu, kalau saya jadi Perdana Menteri, biarkan saja ada PRK. – ShahbudinHusin 18Mei2024.

4 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

5 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
5
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x