Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari yang terkait secara langsung bahawa keahliannya dalam Bersatu terlucut secara autimatik kerana tampil berkempen untuk calon DAP di PRK Kuala Kubu Bharu, dengan tegas menyanggah dakwaan tersebut.
Beliau mendakwa, perlembagaan Bersatu tidak menyebut keahlian seseorang itu tergugur secara automatik jika menyertai kempen PH.
“Saya sertai ceramah kempen kerajaan perpaduan tidak menyalahi perlembagaan parti sebab tidak ada peruntukan yang mengatakan keahlian tergugur secara automatik jika menyertai ceramah parti lawan.
“Keahlian hanya akan gugur secara automatik apabila keluar parti, masuk parti lain, tetapi saya tidak berbuat demikian,” katanya kepada sebuah portal berita.
Dengan itu, Abdul Rashid mendakwa, beliau masih lagi ahli Bersatu.
Bahkan Abdul Rashid juga menegaskan, beliau akan terus berkempen membantu calon DAP yang mewakili PH, Pang Sock Tao di KKB.
Aduhhh…apa punya jenislah orang politik macam Abdul Rashid ini, sudahlah terang-terang melakukan kesalahan yang bertentangan dengan perlembagaan Bersatu, namun langsung tiada rasa malu mempertahankan perbuatan curangnya itu.
Dalam pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan RoS pada 2 April, ia memperuntukkan keahlian terlucut serta-merta jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti, sekaligus perlu mengosongkan kerusi wakil rakyat yang diduduki.
Dalam hal ini, tidakkah dengan menyertai kempen menyokong calon DAP, sedangkan Bersatu sendiri meletakkan calon bertanding di KKB, ia merupakan tindakan yang bertentangan dengan arahan serta pendirian parti?
Parti mana dalam dunia ini yang membebarkan ahli partinya menyokong calon parti lawan?
Sebab itu, dalam keanggotaan mana-mana parti, setia dan patuh kepada disiplin adalah syarat yang tiada kompromi.
Dengan perbuataannya berada di pentas parti lawan, Abdul Rashid sepatutnya malu mengakui dirinya masih ahli Bersatu.
Mana letak maruah diri?
Entahlah….tak faham betul masih ada manusia jenis begini di dunia ini? – ShahbudinHusin 10Mei2024.