Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DR AKMAL PATUT DIJADIKAN KETUA MENTERI MELAKA

Dua hari lalu, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh menerjah sebuah sekolah agama di negeri itu yang berdepan masalah kekurangan kerusi dan meja.

Berikutan masalah tersebut yang diterimanya daripada aduan ibu bapa, seramai 34 murid di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ayer Merbau, terpaksa belajar dengan duduk di atas lantai.

Dalam video terjahannya itu, masalah tersebut dikatakan berlaku susulan kelewatan pihak pengurusan Bahagian Pendidikan JAIM menyelesaikan masalah terbabit.

Difahamkan, murid di sekolah itu terpaksa belajar di atas lantai sejak sekolah mula dibuka awal Januari lalu.

Selepas menerjah dan kemudian menghubungi Pegawai Kewangan Negeri Melaka dan seterusnya JAIM sendiri berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dengan seberapa segera, Dr Akmal sebaliknya bertindak lebih pantas dengan menyediakan sendiri kemudahan kerusi meja yang diperlukan itu.

Beliau menghantar sendiri 36 set kerusi dan meja ke sekolah berkenaan semalam.

“Ini hadiah Hari Guru. Belajar rajin-rajin sayang.

“Kita beri dua set tambahan kerusi dan meja ini,” katanya sambil dilihat mesra menepuk bahu beberapa murid dalam kelas berkenaan.

Dalam catatan di Facebooknya juga, Dr Akmal menyatakan masalah ketiadaan kelengkapan asas di bilik darjah sepatutnya diselesaikan segera tanpa berdepan kerenah birokrasi.

“Alhamdulillah, meja dan kerusi anak-anak selesai dalam tempoh 24 jam.

“Tidak perlu tunggu (hingga) lapan bulan melayan birokrasi yang melampau.

“Moga anak-anak kita ini dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Akmal juga dilihat menyatakan kepada ustazah yang dipercayai guru kelas supaya menempatkan set kerusi, meja yang akan dihantar JAIM selepas ini ke kelas yang lain.

Syabas, inilah pemimpin berjiwa rakyat yang sejati.

Meskipun ada yang berbeza pendapat tentang apa yang dilakukan Dr Akmal itu, sambil ada pula mengatakan gaya terjahannya agak sedikit kasar, di samping Kerajaan Negeri Melaka sendiri ada Exco lain yang bertanggungjawab terhadap portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Islam iaitu Rahmad Mariman dan mereka berpendapat masalah itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman, tetapi kesediaan beliau menyelesaikan sendiri masalah itu hanya dalam tempoh 24 jam memang tindakan yang amat terpuji.

Tidak ramai pemimpin ada jiwa untuk berbuat demikian, selalunya mereka hanya memanjangkan kepada jabatan kerajaan yang berkaitan untuk menyelesaikannya dan kemudian menganggap tugas telah selesai.

Kemudian, berapa bulan lagi masalah berkenaan baru benar-benar selesai tidak lagi diberi perhatian.

Tetapi berbeza dengan Dr Akmal, beliau menyelesaikannya dengan segera dan turun pandang sendiri bagi memastikan ia berjaya diselesaikan dengan penyelesaian yang sebenar.

Sekali lagi syabas diucapkan dan rakyat Melaka, meski masih berbangga dengan nostalgia Hang Tuah dan Hang Jebat, adanya Dr Akmal patut membuatkan mereka rasa bangga juga.

Dalam hal ini, kebetulan PRN Melaka dijangka akan diadakan dalam tempoh lebih kurang setahun lebih saja daripada sekarang setelah PRN yang lalu diadakan pada September 2021.

Berdasarkan gaya kepimpinan cemerlang, hebat, cekap, pantas dan rajin yang ditunjukkan Dr Akmal, bahkan dalam banyak isu-isu lain, beliau juga sentiasa lantang bersuara, maka kepimpinan UMNO wajar meletakkannya sebagai Ketua Menteri Melaka selepas ini.

Bayangkan berapa banyak masalah rakyat di negeri Melaka akan selesai dengan cepat, sekaligus membuatkan rakyat lebih gembira jika beliau diletakkan menerajui kerajaan negeri? – ShahbudinHusin 17Mei2024.

5 2 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x