Terdapat kecenderugan yang ketara kebelakangan ini, baik oleh PH mahu pun PN, untuk masing-masing meletakkan calon Melayu dalam PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei depan.
DAP yang mewakili PH dan selama ini memenangi kerusi Dun KKB dilaporkan berkemungkinan besar meletakkan calon Melayu di kerusi tersebut.
Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Saripah Bakar kini dikatakan mendahului senarai untuk diketengahkan sebagai calon.
Sejak 2004 kerusi Dun KKB diwakili oleh Adun Cina dengan Lee Kee Hiong daripada DAP yang meninggal dunia baru-baru ini mewakili kawasan tersebut selama tiga penggal sejak PRU13.
Gerakan yang bertanding mewakili PN di KKB pada PRN lalu juga turut tidak menolak kemungkinan meletakkan calon daripada kaum Melayu.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong dipetik sebagai berkata, lima calon telah disenarai pendek untuk dipilih bagi mewakili PN.
“Kita sudah mencadangkan beberapa nama. Ada daripada Melayu, Cina dan juga India jika Gerakan diberi peluang untuk bertanding semula di KKB.
“Bagaimanapun nama yang dipilih hanya akan diumumkan sebelum hari penamaan calon nanti,” kata beliau.
Tetapi, dalam perkembangan terbaru, PN dilaporkan lebih mungkin meletakkan calon daripada Bersatu untuk bertanding di KKB berbanding memberi peluang semula kepada Gerakan.
Perkembangan itu kerana mengenengahkan calon Bersatu (sudah tentu Melayu) dikatakan lebih berpotensi untuk beroleh kemenangan berbanding meletakkan calon daripada Gerakan.
Malah PN amat ghairah untuk meletakkan calon Melayu daripada Bersatu di KKB bagi matlamat menyapu bersih semua kerusi dalam Parlimen Hulu Selangor.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor dan dua kerusi Dun di dalamnya, Hulu Selangor dan Batang Kali sudah pun berjaya ditakluk PN pada PRU dan PRN lalu.
Selain PRK KKB merupakan misi untuk menyapu Bersih Hulu Selangor, PN juga mahu memenangi kerusi itu bagi menggantikan kehilangan kerusi Selat Kelang berikutan Adunnya, Abdul Rashid Asari baru-baru ini telah “melompat” mengumumkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Saari.
Jika KKB berjaya dimenangi PN, jumlah kerusi Dun yang mereka miliki kembali kepada 22 seperti yang dimenangi pada PRN lalu.
KKB mempunyai jumlah pengundi seramai 40,226 dengan Melayu 51%, Cina 30%, India 18% dan lain-lain 1%.
Berdasarkan komposisi itu, meletakkan calon Melayu memang dilihat membuka lebih potensi untuk beroleh kemenangan, baik kepada PH atau pun PN.
Mengekalkan calon Cina, terutama bagi DAP yang mewakili PH, boleh mengundang petaka jika PN bertindak meletakkan calon Melayu daripada Bersatu sebagai lawannya.
Perbalahan yang berlaku antara UMNO dan DAP dalam isu stoking bertulis kalimah Allah baru-baru pasti akan memberi kesan besar kepada PH jika kekal meletakkan calon Cina.
Bukan saja kemungkinan besar ramai pengundi Melayu tidak keluar mengundi PH, lebih dibimbangi jika mereka beralih kepada PN.
Namun, dengan masing-masing PH dan PN meletakkan calon Melayu, paling penting ialah isu kaum dengan sendirinya tidak lagi menjadi mainan di KKB.
Kedua-dua pihak akan masing-masing menjadi “baik” kepada pengundi Melayu dan juga kepada pengundi bukan Melayu demi memperolehi undi kemenangan.
Maka, terselamatlah isu Melayu/Islam daripada dijadikan mainan dan bahan kempen, seterusnya aman dan harmonilah juga suasana KKB sepanjang tempoh kempen nanti. – ShahbudinHusin 17/04/2024.