Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

ADAKAH SAKSI PENTING KES SEMAKAN NAJIB IALAH SALAH SEORANG MENTERI KABINET?

Semalam, peguam Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, seorang saksi penting dijangka akan memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan kebenaran Najib Razak untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar wujudnya satu dekri tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan rumah.

Semasa perbicaraan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini, Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Datuk Amarjeet Singh bahawa saksi berkenaan kini berada di Makkah untuk 10 hari terakhir Ramadan.

“Saya memohon penangguhan yang singkat kerana malangnya orang yang paling kritikal (saksi berkenaan) belum menandatangani afidavit berkenaan kerana dia telah berlepas ke Makkah dan dijangka kembali selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Affidavit ini adalah kritikal, walaupun di peringkat ini. Saya hanya memerlukan masa yang singkat, mungkin sehingga satu tarikh yang telah saya rundingkan dengan rakan saya ‘sebelah sana’ iaitu pada 17 April,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili responden tidak membantah terhadap perkara itu.

Hakim Amarjeet kemudian membenarkan penangguhan sehingga 17 April dan mengarahkan supaya hujahan bertulis difailkan pada 15 April.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Shafee bagaimanapun enggan mendedahkan identiti saksi penting tersebut.

Siapakah saksi berkenaan?

Kalau dilihat daripada cara Shafee memberi makluman itu, ternampak bahawa saksi berkenaan adalah seseorang yang sangat penting dalam permohonan semakan oleh Najib itu.

Saksi penting itu seperti digambarkan tahu mengenai adanya titah adendum dalam keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan agar Najib diberikan tahanan rumah dan sedia membuat afidavit berkenaan mengenainya.

Sekali lagi, siapakah saksi itu?

Adakah ia salah seorang menteri kabinet dalam kerajaan madani sekarang?

Di waktu yang sama, kerajaan juga disarankan agar bersikap jujur dan telus dalam hal ini.

Jika benar titah Agong itu wujud, lebih baik berterus-terang dan dimaklumkan secara terbuka kepada rakyat.

Tidak perlu ia sampai menjadi kes mahkamah untuk diserlahkan kebenarannya.

Kecuali jika betul tidak wujud titah Agong itu, maka barulah ada kewajaran untuk kerajaan melawan permohonan semakan Najib itu di mahkamah. – ShahbudinHusin 05/04/2024.

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

24 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
24
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x